KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim, berkata bahawa ia terserah kepada parti untuk memutuskan sama ada jawatan presiden dan timbalan presiden wajar dipertandingkan dalam pemilihan yang akan datang.
Beliau menegaskan bahawa beliau tidak campur tangan dalam urusan tersebut dan menyerahkan sepenuhnya keputusan kepada PKR.

Ditemui media di Bestari Jaya, Kuala Selangor hari ini Anwar berkata dia tidak mencampuri urusan tersebut dan terpulang kepada PKR untuk membuat ketetapan.
“Mereka (parti) yang putuskan… saya tak campur.
“Ia (melibatkan) demokrasi… yang (akan) bertanding (atau) tak bertanding, parti tentukan,” katanya kepada media hari ini.
PKR dijadualkan mengadakan pemilihan peringkat pusat pada minggu ketiga Mei ini.
Sebelum ini, Pengerusi Biro Antarabangsa PKR, Shamsul Iskandar Md Akin, mencadangkan agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan berdasarkan beberapa pandangan daripada rundingan dalaman parti.
Shamsul berpendapat cadangan tersebut bertujuan untuk mengekalkan suasana tenang dalam parti.
“Apa pun tidak ada keputusan dalam parti yang menghalang, tetapi kita di peringkat pimpinan ini tentulah ada perbincangan kerana kita ada agenda yang lebih penting,” katanya.
Namun, cadangan itu mendapat reaksi berbeza daripada beberapa pihak.
Bekas Naib Ketua Pemuda PKR, Syed Badli Shah Syed Osman, berpendapat bahawa Anwar memerlukan barisan pemimpin yang lebih dinamik untuk memperkukuh agenda rakyat.
Menurutnya, membuka ruang pertandingan akan membantu PKR kekal relevan dalam politik negara.
“Justeru setiap pemimpin tidak perlu gentar untuk melalui proses pemilihan sama ada untuk memilih mahupun dipilih.
“Demokrasi itu bising, sementara jika senyap itu bererti tidak berani melakukan perubahan,” katanya.
Pakar sains politik dari Universiti Sunway, Wong Chin Huat, pula berpendapat bahawa menghalang pertandingan untuk dua jawatan tertinggi PKR akan menghalang persiapan parti tersebut menghadapi era selepas Anwar berundur dari jawatan presiden.
Mengikut perlembagaan PKR, seorang presiden hanya boleh memegang jawatan tersebut selama tiga penggal, dan Anwar perlu berundur dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.
“Memandangkan tempoh jawatan Anwar sebagai presiden parti akan tamat dalam tiga hingga empat tahun lagi, adakah beliau akan mengutamakan kepentingan peribadinya berbanding kepentingan parti, seperti yang dilakukan oleh Joko Widodo di Indonesia tahun lalu?
“Lebih baik bagi Anwar, kestabilan PKR dan Malaysia jika beliau menetapkan had penggal 10 tahun bagi jawatan perdana menteri supaya peralihan kuasa yang tidak dapat dielakkan menjelang 2032 dapat diperjelaskan lebih awal,” katanya.