KUALA LUMPUR: Hari ini, sempena pembukaan semula sesi persekolahan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melakukan lawatan mengejut ke Sekolah Kebangsaan Kg Baru.

Lawatan tersebut memberi kesempatan kepada beliau untuk mendengar keluhan daripada guru, ibu bapa, dan pelajar mengenai keadaan di sekolah.

“Pagi tadi saya kembali ke bilik darjah bukan sebagai guru, tetapi sebagai seorang pemimpin yang mahukan persekitaran dan keadaan sekolah yang baik dan selesa buat anak-anak bangsa selain mendengar suara serta keluhan guru, ibu bapa, termasuk pelajar.

“Di Sekolah Kebangsaan Kg Baru, saya meninjau sendiri keadaan dan suasana hari pertama persekolahan dan dedikasi serta kecekalan pendidik yang bersungguh-sungguh membentuk masa depan bangsa dan negara.

“Dalam kunjungan mengejut dan singkat itu, saya luangkan masa mendengar kerana perihal pendidikan bukan sekadar buku teks dan peperiksaan, tetapi soal membina impian, menerjah peluang dan mencorak harapan,” katanya dalam hantaran di X, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa sekolah haruslah menjadi tempat yang selamat, selesa, dan penuh dengan harapan, kerana pendidikan adalah pintu kejayaan.

“Dan di sebalik setiap harapan, ada tanggungjawab yang kita sebagai pemimpin, guru dan pendidik serta ibu bapa mengenggam serta pikul bersama demi kejayaan anak bangsa.

“Kepada anak-anak yang memulakan hari pertama persekolahan hari ini, selamat kembali menimba ilmu,” katanya.

Meneruskan kata-katanya, Anwar juga mengimbau pengalamannya ketika berada di hadapan mahasiswa Georgetown University, Washington DC.

“Betapa besarnya peranan seorang guru dan pendidik dalam membimbing bukan saja dengan ilmu, tetapi dengan kasih sayang, sikap ihsan yang terdalam, contoh teladan dan hikmah.

“Sudah tentu sekolah dan universiti adalah dua persekitaran yang berbeza, namun semangat mencurah bakti adalah sama,” katanya.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia