KUALA LUMPUR: Penyanyi yang popular dengan suara tinggi, Azharina Azhar, 39 tahun, mengakui beliau menghidap kanser tetapi masih menunggu untuk mendedahkan jenis kanser yang dihadapinya.
Azharina memberitahu bahawa beliau sedang menanti keputusan laporan kesihatan yang dijangka akan keluar dalam masa dua minggu lagi.
“Saya disahkan menghidap kanser, namun masih menunggu keputusan dalam tempoh dua minggu lagi.
“Saya perlu menjalani dua pembedahan. Sepatutnya pembedahan pertama pada minggu depan, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana ada beberapa kerja yang belum selesai.
“Pembedahan ini terpaksa dilakukan atas nasihat doktor akibat masalah kesihatan kerana saya suka makan.
“Saya kena ubah cara makan, ramai artis yang buat bariatrik dan ia memang membantu mereka,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single berjudul Realiti berduet bersama Kozae, di sini hari ini.
Azharina turut berkongsi bahawa beliau memerlukan masa yang mencukupi untuk persediaan dan mencari pekerja yang boleh dipercayai untuk menguruskan perniagaannya.
Dia juga mendedahkan bahawa beliau menghidap kencing manis sejak dua tahun lalu.
“Walaupun saya menghadapi kedua-dua penyakit ini, ia menyusahkan emosi dan aktiviti harian saya, tetapi saya memilih untuk mempunyai sikap positif.
“Saya juga manusia biasa. Bila sakit tentulah saya akan menangis. Biasanya, saya akan dengar lagu-lagu galau untuk redakan perasaan.
“Saya kena tempuh ujian ini walaupun perit dan menyakitkan,” katanya.
Sebelum ini, Azharina pertama kali mendedahkan penyakit yang dihadapinya semasa menjadi tetamu dalam program No Filter bersama Elly Mazlein.
Beliau mendedahkan bahawa dia mengalami pendarahan yang teruk semasa menyertai program realiti, All Stars Gegar Vaganza (GV10) pada bulan September 2023.
Azharina menjelaskan bahawa walaupun dia tidak mendedahkan secara spesifik, doktor yang merawatnya telah menasihatkan untuk menjalani pembedahan dan kemoterapi.