KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan bahawa tapak bazar Ramadan perlu diberikan kepada mereka yang benar-benar mahu berniaga dan bukan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.

Baginda melahirkan kebimbangan mengenai penjualan hak pelesenan bazar Ramadan kepada pihak ketiga yang menyebabkan harga barangan meningkat dan membebankan rakyat.

“Beta selaku ketua agama Islam di Negeri Selangor amat memandang serius terhadap pembangunan dan kebajikan umat Islam di negeri ini,” titah baginda sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Negeri (DUN) Selangor Ke-15 di sini, hari ini (Semalam).

Selain itu, Sultan Selangor turut menitahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk mengawasi dan memperbaiki sistem pengurusan sekolah tahfiz di negeri ini. Baginda mahu agar keadaan fizikal, fasiliti bangunan dan asrama sekolah tahfiz dilengkapi dengan aspek keselamatan yang mencukupi.

“Sekolah- sekolah tahfiz yang tidak berdaftar dan tidak memenuhi syarat hendaklah ditutup,” titah baginda.

Dalam titahnya, Sultan Sharafuddin turut berharap agar tidak ada individu atau kumpulan tertentu yang mempergunakan golongan anak yatim dan asnaf di Selangor untuk kepentingan dan keuntungan peribadi.

Baginda juga menekankan kepentingan perancangan yang rapi dalam menghadapi isu bencana, terutamanya banjir. Sultan Selangor berharap agar Rancangan Tebatan Banjir yang bernilai RM1.774 bilion oleh kerajaan Persekutuan dan negeri dapat dipercepatkan pelaksanaannya.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia