KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 124 pendatang tanpa izin dalam satu serbuan di sebuah flat 14 tingkat berdekatan Jalan Haji Hussein, Chow Kit, awal pagi tadi.

Serbuan tersebut dijalankan selepas aduan awam mengenai kebanjiran pendatang tanpa izin yang menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Menurut Pengarah JIM Kuala Lumpur, Wan Mohamed Saupee Wan Yusoff, seramai 84 warga Indonesia, 17 warga Bangladesh, 14 warga Pakistan, 4 warga Nepal, 3 warga India dan 2 warga Myanmar ditahan kerana disyaki tinggal di negara ini tanpa permit sah serta melebihi masa yang ditetapkan.
“Operasi pagi ini diadakan berikutan aduan awam berkaitan kebanjiran pendatang tanpa izin yang menimbulkan ketidakselesaan masyarakat setempat dan serbuan mendapati mereka tinggal secara bersesak-sesak dalam keadaan kotor yang mungkin menjejaskan kesihatan.
“Ada sebuah unit… 23 orang tinggal di rumah yang mempunyai lima bilik dengan kadar sewaan RM800 hingga RM2,200 bagi setiap bilik dengan kebanyakan mereka juga didapati bekerja di sekitar kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas operasi serbuan berkenaan di sini hari ini.
Operasi yang berlangsung dari jam 1 pagi hingga 3 pagi itu melibatkan 50 anggota JIM Kuala Lumpur dan 30 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM). Semua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat JIM Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Tinjauan ketika serbuan mendapati setiap tingkat di flat berkenaan terdiri daripada 10 unit rumah yang mempunyai tiga hingga lima bilik dan setiap unit diperiksa anggota penguat kuasa, dengan ada penghuni mengambil masa sangat lama sebelum membuka pintu.
Ada antara penghuni yang sengaja mendiamkan diri sehingga mangga kunci di pintu unit mereka terpaksa dipotong dan beberapa pendatang tanpa izin didapati cuba bersembunyi di celah-celah perabot, sudut bilik yang gelap dan bumbung balkoni ketika serbuan, namun dapat dikesan pasukan penguat kuasa.
Tinjauan semasa serbuan mendapati bahawa keadaan di flat tersebut sangat teruk dengan banyak sampah sarap yang diletakkan di koridor. Selain itu, lif di bangunan tersebut dipercayai tidak berfungsi sejak lama, dan banyak perabot lama terkumpul di hadapan lobi lif.
Sejak awal tahun ini, JIM Kuala Lumpur telah menjalankan 119 operasi dengan memeriksa 1,943 individu. Daripada jumlah itu, 920 orang telah ditahan kerana status mereka sebagai pendatang tanpa izin.
“30 warga tempatan yang terlibat dan dikategorikan sebagai majikan turut ditahan dan mereka akan disiasat serta dikenakan tindakan undang-undang tanpa kompromi,” katanya.
Beliau turut mengingatkan pendatang tanpa izin supaya tidak mempercayai khabar angin yang mengatakan Program Repatriasi Migran JIM yang dilaksanakan bermula 1 Mac hingga 31 Disember lalu akan disambung setahun lagi.
“Ramai yang sebenarnya tiada dokumen dan menyalahi peraturan imigresen masih membuat keputusan untuk terus tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur kerana mereka mendapat maklumat yang salah,” katanya.