KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia mengesahkan bahawa seorang pegawai imigresen sedang disiasat selepas 12 keping pasport asing ditemui dalam milikannya di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada bulan lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Zakaria Shaaban, berkata pasport-pasport tersebut ditemui pada badan pegawai terbabit di Pejabat Operasi Terminal 2 KLIA pada 1 Januari lalu. Laporan polis mengenai penemuan itu dibuat pada 7 Januari.

Zakaria menjelaskan bahawa kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai tindakan Jabatan, dan satu siasatan integriti telah dibuka.

“Satu kertas siasatan integriti dibuka dan pihak pengurusan imigresen KLIA telah mengambil tindakan awal dengan menukarkan pegawai terbabit ke Depot Imigresen KLIA.

“Bagaimanapun pegawai terbabit tidak hadir melaporkan diri ke tempat bertugas yang baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Baru-baru ini, laporan media mendedahkan bahawa pegawai imigresen tersebut didakwa menyimpan 12 pasport asing di pinggang seluarnya ketika tertidur di tempat kerja di luar waktu rehat, yang menimbulkan syak wasangka dalam kalangan pegawai lain.

Zakaria menegaskan bahawa Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang terlibat dalam pelanggaran integriti yang mencemarkan nama baik dan imej jabatan.

“Tindakan dan hukuman akan diambil berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada termasuk tindakan buang kerja jika pegawai yang melakukan kesalahan terbukti bersalah,” katanya.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia