KUALA LUMPUR: Datuk Jamal Abdillah, 65 tahun, mengalami kerugian sebanyak RM2 juta ekoran kegagalan sebuah syarikat pelaburan untuk membayar dividen dan memulangkan wang pelaburan kepadanya.

Beliau mendakwa telah membuat laporan polis terhadap syarikat berkenaan di Bukit Aman dan Shah Alam, namun tiada tindakan lanjut dari Timbalan Pendakwa Raya selepas dua tahun.

“Sebelum itu, saya sudah buat semakan di Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM) dan mendapati memang syarikat itu wujud kerana ramai membuat pelaburan dengan dijanjikan dividen antara lapan hingga 12 peratus setahun.

“Saya tertarik dan melabur kira-kira RM2 juta. Tahun pertama, kedua dan ketiga pembayaran dividen berjalan lancar. Masuk tahun keempat ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka tak dapat nak bayar.

“Sampai sekarang sudah nak masuk tujuh tahun, ia masih belum selesai. Saya sudah buat laporan polis dan pegawai mengendalikan kes sudah bertukar antara tiga dan empat orang, tapi masih belum difailkan di mahkamah,” dakwanya.

Jamal menyeru kerajaan untuk bertindak tegas terhadap kes ini yang disifatkannya sebagai penipuan, mengaitkan kes ini dengan kerugian hampir RM1 bilion yang dialami oleh pelabur lain.

Jamal mendakwa, laporan dibuat di Bukit Aman dan Shah Alam tetapi masih tiada apa-apa tindakan dari Timbalan Pendakwa Raya (DPP).

“Sekarang tinggal lagi DPP yang akan failkan. Sudah masuk dua tahun, namun belum ada perkembangan lanjut. Jadi, saya harap pihak kerajaan tengoklah kes ini kerana ia seperti ‘scammer’.

“Jangan dibiarkan begitu sahaja kerana ramai yang kena, bukan saya seorang sahaja. Hampir RM1 bilion mereka kutip termasuk syarikat besar. Sesetengah syarikat sudah terima semula deposit bila mereka failkan di mahkamah.

“Saya lewat sikit bertindak, namun harapan saya agar pihak kerajaan buka mata terhadap syarikat pelaburan yang ambil wang rakyat buat pelaburan kerana sudah melalui Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara.

“Ia memang wujud. Jadi, apa tindakan selanjutnya dan DPP kenalah failkan segera,” katanya.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia