KUALA LUMPUR: Penganjur acara Live Nation Malaysia menerima serangan boikot daripada pengguna Instagram berhubung penganjuran konsert Bruno Mars Live in Kuala Lumpur yang diumumkan semalam.
Menurut Harian Metro, serangan tersebut berpunca daripada pendirian Mars yang sebelum ini menyuarakan sokongannya kepada Israel semasa mengadakan konsert di negara tersebut tahun lalu.
“Dia pro-Israel dan mendapat kebenaran untuk mengadakan konsert di Malaysia.Saya tak tahu macam mana nak cakap. Macam mana dia boleh dapat kebenaran?
“Sebab saya tahu Malaysia sokong Palestin. Boikot, sila. Kalau orang Malaysia yang bukan beragama Islam datang sokong, maksudnya kalian pro-Israel lah. Kan?” tulis satu netizen.
“Kamu semua tolonglah jangan sokong dia ini, aku pun minat dia juga. Tapi dia kecewakan aku. Dapat tahu dia menyokong Zionis sebelum konsert di Singapura.
“Konsert lain nak datang aku tak banyak bising, tapi kalau dia ini terang-terangan dah,” tulis satu netizen lain.
“Penyokong pembunuh bayi. Seriuslah kamu semua nak sokong konsert mamat ini.
Seronok ya dapat pengalaman pergi konsert orang yang menyokong pembunuhan bayi secara besar-besaran,” tulis netizen.
Konsert itu dijangka bakal berlangsung pada 17 September depan di Stadium Nasional Bukit Jalil.