Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon, diberi tanggungjawab untuk menilai prestasi dan kualiti pemain warisan di luar negara, terutama di Eropah, bagi memperkukuhkan skuad Harimau Malaya menjelang Kelayakan Piala Asia 2027.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman, menyatakan bahawa FAM telah menyerahkan proses pemilihan pemain warisan sepenuhnya kepada kejurulatihan.
Beliau menegaskan bahawa selepas penilaian dilakukan, keputusan akan diserahkan kepada FAM untuk tindakan lanjut.
“Untuk pemilihan pemain warisan, kita serahkan kepada Ketua Jurulatih dan barisan kejurulatihan untuk membuat penilaian.
“Selepas melakukan penilaian, barisan kejurulatihan akan serahkan kepada kita (FAM) untuk tindakan selanjutnya,” jelasnya ketika ditemui di Wisma FAM selepas tamat Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM Ke-11.
Noor Azman juga mendedahkan usaha FAM untuk mendapatkan pasukan terbaik bagi menyertai aksi persahabatan selepas Pestabola Merdeka 2024, dengan matlamat meningkatkan ranking FIFA dan membawa Harimau Malaya ke Pot 1 menjelang Kelayakan Piala Asia.