KUALA LUMPUR: Projek mitigasi banjir untuk menangani risiko banjir yang semakin meningkat di kawasan-kawasan terdedah di seluruh negara dijangka dapat disiapkan 12 bulan lebih awal daripada tempoh asal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kini sedang meneliti pelbagai pendekatan untuk mempercepatkan projek tersebut dengan kos dan tempoh yang lebih efektif.

“Antara cadangan yang diambil ialah semua urusan termasuk pengambilan tanah dan proses rekabentuk akan diteliti semula untuk mempercepatkan tempoh penyiapan projek.

“Dengan kerjasama daripada semua pihak yang terlibat dijangka projek dapat disegerakan sehingga 12 bulan lebih awal daripada tempoh asal penyiapan projek,” katanya menjawab soalan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum itu, Datuk Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) mengajukan soalan berhubung tindakan kementerian terhadap gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, agar projek tebatan banjir disegerakan. Dr Alias juga ingin mengetahui kos terkini yang perlu ditanggung oleh kerajaan selepas proses kelulusan projek dibatalkan pada penghujung tahun 2022.

Mengulas lanjut, Fadillah memberitahu bahawa sehingga Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Ke-12 (RP5 RMKe-12) pada tahun 2025, sebanyak 50 pelan induk tebatan banjir telah siap, enam pelan sedang dibangunkan, dan tiga lagi dijangka akan bermula pada Jun 2025.

“Sehingga Rolling Plan Kelima Rancangan Malaysia Ke-12 (RP5 RMKe-12), sebanyak 136 projek tebatan banjir telah diluluskan dengan jumlah kos RM22.86 bilion.

“Daripada jumlah tersebut, 35 projek sedang dalam peringkat pra-pelaksanaan dan 73 projek sedang dalam pelaksanaan,” katanya lagi.

Fadillah turut menyatakan bahawa kerajaan telah menilai semula cadangan projek tebatan banjir selepas tahun 2022 untuk memberi keutamaan kepada kawasan-kawasan yang paling kritikal, dengan mematuhi proses pentadbiran serta peruntukan kontrak yang bersesuaian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga telah mengarahkan Perbendaharaan memberikan kelonggaran untuk mempercepatkan projek ini dengan peruntukan segera dan proses saringan awal yang lebih pantas.

Beliau berkata, ia melibatkan peruntukan segera dan proses saringan awal (pre queue) yang lebih cepat.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia