KUALA LUMPUR: Bekas penyerang kebangsaan, Nizaruddin Yusof, memuji sikap, keputusan pemain warisan negara, Kobe Chong untuk mengorbankan peluang karier di England demi beraksi dalam Liga Malaysia.

Dalam temu bual bersama wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Nizaruddin berpendapat bahawa Chong, yang memiliki warisan campuran Jamaica-Malaysia, perlu bijak dalam memilih pasukan.

Bagi Nizaruddin, Selangor adalah pilihan ideal bagi Chong kerana mereka memberi penekanan pada minit permainan, sesuatu yang penting untuk pembangunan kerjaya pemain muda.

“Mungkin dia mahu membuktikan kebolehan yang dia ada untuk mencapai keinginannya mewakili skuad B-23 atau skuad senior kebangsaan.

“Bagi saya, dia perlu pandai memilih pasukan yang ingin diwakilinya.

“Kerana kalau kita lihat daripada desas-desus, ada tiga pasukan yang inginkan khidmatnya tetapi pada pendapat saya sebagai bekas pemain, dia perlu mencari pasukan yang dia boleh bermain.

“Dia perlu mendapatkan minit permainan yang banyak.

Beliau yakin bahawa di bawah pengurusan jurulatih Nidzam Jamil, Chong akan mendapat peluang untuk membuktikan kebolehannya dengan cepat jika diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama.

“Jika dia diberikan peluang untuk bermain, saya rasa dia akan dapat membuktikan kebolehannya dalam masa yang singkat.”

Selanjutnya daripada Warta Malaysia