KUALA LUMPUR: Polis gagal menghubungi pelakon lelaki yang dituduh memukul teman wanitanya sehingga cedera di Petaling Jaya pada Ahad lalu untuk proses merakam keterangan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar, menyatakan bahawa pegawai penyiasat kes telah mencuba menghubungi pelakon tersebut melalui aplikasi WhatsApp, tetapi tidak mendapat jawapan.
“Kita akan membuat panggilan memberi keterangan kepada beliau untuk hadir mengikut Seksyen 111 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) dan beliau sedang dikesan untuk penyampaian panggilan itu.
“Jika selepas penyampaian Seksyen 111 KTJ disempurnakan dan subjek masih gagal mematuhi untuk hadir mengikut tarikh dan masa yang ditentukan, kita akan memohon waran tangkap melalui mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrulnizam menambah bahawa polis juga telah merakam keterangan kakak mangsa sebagai saksi dan menunggu laporan perubatan untuk membantu dalam siasatan.
“Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan lengkap,” katanya.
Kejadian yang berlaku pada 7 Julai melibatkan seorang wanita yang mendakwa dipukul oleh teman lelakinya selepas keluar bersama kakaknya di Ara Damansara pada jam 3 pagi.