TANJONG MALIM: Dua atlet Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Danish Iftikar Muhammad Roslee dan Adam Haqimi Azrail, melakar kejayaan membanggakan apabila dipilih menyertai Skuad Podium dan Pelapis Olahraga Malaysia bagi tahun 2026.

Pemilihan itu diumumkan oleh Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) selepas kedua-dua atlet berkenaan mempamerkan prestasi konsisten dan cemerlang dalam beberapa kejohanan olahraga peringkat kebangsaan sepanjang musim lalu.

Danish Iftikar, 19, yang merupakan pelajar Diploma Sains Sukan dan Kejurulatihan UPSI dipilih bagi acara pecut 100 meter (m), manakala Adam Haqimi, 20, yang juga mengikuti program Diploma Sains Sukan dan Kejurulatihan universiti itu mewakili acara lompat jauh.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, kejayaan diraih oleh Danish dan Adam merupakan hasil dedikasi tinggi atlet serta komitmen universiti dalam memperkukuh pembangunan sukan berprestasi tinggi.

Menurut beliau, pemilihan kedua-dua atlet itu ke dalam skuad kebangsaan bukan sahaja membanggakan warga universiti, malah membuktikan bahawa atlet UPSI mempunyai potensi besar untuk bersaing dengan atlet terbaik negara di peringkat lebih tinggi.

“Pemilihan ini merupakan satu pengiktirafan kepada usaha gigih atlet serta bimbingan jurulatih yang sentiasa komited dalam memastikan atlet universiti mencapai tahap prestasi terbaik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pencapaian tersebut turut mengangkat nama UPSI sebagai antara institusi pengajian tinggi yang aktif melahirkan atlet berpotensi tinggi untuk mewakili negara di pentas antarabangsa.

Tambahnya, universiti sentiasa komited dalam menyediakan persekitaran yang kondusif serta kemudahan latihan yang baik bagi memastikan atlet pelajar dapat menyeimbangkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan sukan.

Dalam pada itu, beliau berharap kejayaan yang diraih oleh Danish dan Adam dapat menjadi inspirasi kepada atlet lain di universiti berkenaan untuk terus berusaha meningkatkan prestasi masing-masing.

“UPSI sentiasa menyokong usaha pembangunan bakat sukan dalam kalangan pelajar kerana ia selari dengan aspirasi universiti untuk melahirkan graduan yang seimbang dari segi akademik, sahsiah dan pencapaian kokurikulum,” ujar beliau.

Danish Iftikar dan Adam Haqimi dijangka menyertai latihan pusat bersama skuad kebangsaan sebagai persediaan menghadapi beberapa kejohanan antarabangsa yang bakal disertai oleh KOM sepanjang tahun ini.

Penyertaan dalam program Skuad Podium dan Pelapis Olahraga Malaysia itu dijangka memberi peluang kepada kedua-dua atlet berkenaan untuk memperkukuh prestasi serta menimba pengalaman berharga dalam usaha mengharumkan nama negara di pentas sukan antarabangsa.

Penulisan ini ditulis oleh Bazli Razak, Pegawai Unit Media, Bahagian Komunikasi Korporat UPSI.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia