Anwar ucap tahniah empat warga Malaysia menang di Anugerah Golden Horse

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengucapkan tahniah kepada empat bakat Malaysia yang memenangi anugerah berprestij pada Anugerah Golden Horse ke-63 di Taiwan.
Dalam hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata kejayaan mereka mengharumkan nama Malaysia di pentas filem antarabangsa.
Nandagopall Mohan memenangi Pelakon Baharu Terbaik menerusi filem Sayang Sayang, sekali gus menjadi pelakon Malaysia pertama merangkul anugerah itu sejak ia diperkenalkan.
Kartik Vijay pula menang kategori Sinematografi Terbaik bagi Dead Tide, manakala Ryota Katayama bersama David Ke dan Hung Pei-yu memenangi Lagu Asal Filem Terbaik menerusi Gone With the Tide daripada filem yang sama. Penerima keempat ialah Tsai Ming-liang yang menang kategori Filem Pendek Dokumentari Terbaik untuk Night Journey.
Anwar turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pasukan produksi Sayang Sayang dan Dead Tide, termasuk pengarah, penerbit, pelakon dan pihak yang menyumbang kepada kejayaan kedua-dua filem itu.
"Pencapaian membanggakan ini membuktikan bakat dan kreativiti Malaysia mampu menghasilkan karya berkualiti yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, di samping menonjolkan potensi kerjasama penerbitan rentas sempadan," katanya dalam hantaran itu.
Beliau berkata sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menerusi Insentif Filem di Malaysia (FIMI) untuk kedua-dua filem turut mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI memperkukuh industri filem negara.
"Tahniah juga kepada Jack Tan, Yeo Yann Yann, Mhia Firdaus dan Edmund Yeo atas pencalonan mereka dalam pelbagai kategori utama, yang turut membantu meningkatkan profil Malaysia di pentas filem antarabangsa," katanya.
"Semoga pencapaian ini memberi inspirasi kepada lebih ramai seniman tempatan untuk terus menghasilkan karya dan membawa kebanggaan negara di pentas dunia," katanya.




