Penduduk Pulau Pinang diminta bersiaga, air pasang besar dijangka cecah 2.71 meter

GEORGE TOWN: Penduduk di kawasan rendah dan berhampiran pesisir pantai di Pulau Pinang dinasihatkan meningkatkan kesiapsiagaan susulan ramalan air pasang besar, hujan serta ribut petir di kebanyakan kawasan negeri ini hingga Jumaat.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Mohamad Shoki Hamzah, berkata orang ramai perlu mengambil perhatian terhadap jadual air pasang surut bagi kawasan George Town dan Pelabuhan Pulau Pinang, terutama mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir.
"Air pasang diramal berlaku pada 12.52 tengah malam esok dengan ketinggian 2.68 meter, manakala pada 1.25 tengah hari paras air dijangka mencapai 2.23 meter," katanya ketika dihubungi Bernama.
Menurut ramalan, air pasang pada Jumaat dijangka mencapai paras tertinggi iaitu 2.71 meter pada 1.29 pagi, manakala 2.19 meter pada 2.07 petang.
Beliau berkata, faktor cuaca juga perlu diberi perhatian apabila Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ribut petir di kebanyakan tempat pada sebelah petang dan hujan di kebanyakan kawasan pada waktu malam, bermula hari ini hingga Jumaat.
Esok, hujan dijangka berlaku di beberapa tempat pada sebelah pagi sebelum ribut petir melanda kebanyakan kawasan pada sebelah petang dan hujan pada waktu malam. Keadaan sama diramal berulang pada Jumaat, dengan cuaca dijangka tidak hujan pada sebelah pagi.
"Walaupun tiada amaran hujan berterusan dikeluarkan bagi Pulau Pinang setakat ini, penduduk perlu sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca dan arahan pihak berkuasa sepanjang Monsun Timur Laut (MTL)," katanya.
Orang ramai yang berdepan kecemasan diminta menghubungi talian 999 yang beroperasi 24 jam, selain mendapatkan maklumat cuaca dan keselamatan melalui saluran media sosial rasmi JBPM Pulau Pinang.
Foto: lensnmatter / Wikimedia Commons (CC BY 2.0)




