Andy Lau akui bergelar bapa pada usia lewat tidak mudah

HONG KONG: Bintang Hong Kong Andy Lau, 65, mengakui menjadi bapa pada usia lewat bukan perkara mudah, namun bersyukur segalanya akhirnya berjalan lancar.
Dalam satu temu bual radio baru-baru ini, Lau berkata beliau terlalu tertumpu pada kerjaya sebagai idola sehingga "terlupa untuk memikirkan generasi seterusnya".
Lau berkahwin dengan bekas model Malaysia, Carol Chu, pada 2008. Beliau berusia 51 tahun ketika mereka menyambut kelahiran anak perempuan, Hanna, yang kini berusia 14 tahun, manakala Chu berusia 46 tahun.
"Tuhan banyak kali membantu saya," katanya.
Hanna kini belajar di sebuah sekolah antarabangsa di Hong Kong dan sebahagian besarnya dijauhkan daripada perhatian umum kerana Lau melindungi privasinya.
Walaupun merahsiakan kehidupan keluarga, "Raja Langit" itu sesekali berkongsi gambaran hubungannya dengan anaknya, termasuk cabaran membantu menyiapkan kerja rumah.
Menurut Lau, matematik paling sukar kerana kurikulum sekolah kini jauh berbeza daripada yang dipelajarinya semasa kecil, sehingga beliau tidak pasti cara menerangkan sesetengah konsep. Mereka juga kadangkala bertengkar mengenai kerja rumah, tetapi Lau biasanya akan mengambil inisiatif berbaik semula keesokan harinya.
Selain hal persekolahan, bapa dan anak itu berkongsi minat terhadap muzik. Lau berkata Hanna mendengar lagu-lagu baharunya dan kerap memberi pendapat, menjadikannya 'perunding muzik peribadi'. Beliau turut memuji bakat muzik anaknya dan menyatakan Hanna mungkin suatu hari nanti mencipta muzik sendiri.
Foto: mR.Hom / Wikimedia Commons (CC BY 2.5)




