Miley Cyrus selamat bernikah dengan pemuzik Maxx Morando di Palm Springs

Penyanyi Amerika Syarikat, Miley Cyrus, 33, dan pemuzik Maxx Morando, 28, selamat melangsungkan perkahwinan di Palm Springs, California, pada 21 November, selepas kira-kira lima tahun bercinta.
Perkahwinan itu dilaporkan program hiburan Amerika, Entertainment Tonight. Laman web hiburan TMZ sebelum itu melaporkan pada 19 November bahawa pasangan tersebut dijangka berkahwin hujung minggu ini.
Petunjuk paling jelas muncul apabila adik tiri Cyrus, Lily-Rose Purcell, berkongsi Instagram Story pada 20 November yang memaparkan gambar yang kelihatan seperti majlis makan malam raptai perkahwinan.
Gambar yang diperoleh akhbar tabloid Britain, Daily Mail, menunjukkan senarai tetamu termasuk ibu Cyrus yang juga pengurus dan penerbitnya, Tish Cyrus, serta bapa tirinya, pelakon Dominic Purcell. Bapanya, penyanyi Billy Ray Cyrus, turut hadir bersama teman wanitanya, pelakon Elizabeth Hurley.
Perkahwinan itu berlangsung kira-kira setahun selepas pasangan tersebut bertunang, namun tarikh sebenar pertunangan tidak diketahui. Cyrus mempamerkan cincin pertunangannya pada 1 Disember 2025 ketika hadir di karpet merah tayangan perdana filem Avatar: Fire And Ash di Los Angeles.
Morando memberitahu majalah Wonderland pada Julai bahawa dia melamar Cyrus di Kyoto, Jepun. Pasangan itu juga dilihat peminat di Jepun pada penghujung Oktober dan awal November 2025.
Menurut majalah People, mereka bersama sejak 2021. Dalam temu bual bersama British Vogue pada 2023, Cyrus berkata mereka bertemu menerusi temu janji buta.
Cyrus ialah bekas pelakon kanak-kanak yang membintangi siri komedi Disney Channel, Hannah Montana (2006 hingga 2011), dengan watak Miley Stewart, pelajar sekolah menengah yang menjalani kehidupan berganda sebagai penyanyi pop. Dia terkenal menerusi lagu Party In The USA (2009), Wrecking Ball (2013) dan Flowers (2023).
Lagu Flowers, daripada album kelapan Endless Summer Vacation (2023), membawa Cyrus memenangi dua Anugerah Grammy pertamanya, iaitu Rakaman Tahun Ini dan Persembahan Solo Pop Terbaik. September lalu, dia melancarkan album kesepuluh, Bass Persuades, yang memuatkan lagu Let's Get Married.
Morando pula penerbit muzik dan pemain dram kumpulan rock Los Angeles, Liily. Dia pernah bekerjasama dengan Cyrus dalam Endless Summer Vacation dan album kesembilan penyanyi itu, Something Beautiful (2025).
Cyrus sebelum ini berkahwin dengan pelakon The Hunger Games, Liam Hemsworth, 36, pada 2018. Mereka bercerai pada 2020.
Foto: TNT Brasil / Wikimedia Commons (CC BY 3.0)




