Harga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun 25 sen seliter mulai 26 November

SHAH ALAM: Harga runcit petrol RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi masing-masing diturunkan 25 sen seliter bagi tempoh 26 November hingga 2 Disember 2026.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM), harga RON97 turun kepada RM3.75 seliter berbanding RM4 sebelum ini.
Harga RON95 tanpa subsidi pula turun kepada RM3.47 seliter daripada RM3.72, manakala diesel tanpa subsidi berkurangan kepada RM4.47 seliter berbanding RM4.72 sebelum ini.
Menurut MOF, harga produk petroleum bertapis di pasaran serantau terus menunjukkan penyederhanaan dalam tempoh pengiraan APM, termasuk bagi petrol dan diesel. Perkembangan itu mencerminkan tekanan harga yang semakin berkurangan dalam pasaran petroleum antarabangsa.
Kementerian itu berkata, prospek peningkatan bekalan minyak mentah global turut mempengaruhi penyusutan harga minyak dunia. Namun, bekalan produk petroleum bertapis masih berdepan beberapa kekangan di pasaran tertentu.
"Ketidaktentuan geopolitik dan risiko gangguan penghantaran petroleum masih boleh menjejaskan bekalan global. Sehubungan itu, harga petroleum dunia dijangka terus mengalami turun naik dalam tempoh terdekat," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, kerajaan kekal komited melindungi rakyat dan sektor perniagaan menerusi pelaksanaan subsidi bahan api bersasar Budi Madani. Peruntukan hampir RM40 bilion disediakan bagi subsidi bahan api tahun depan untuk membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup.
Melalui BUDI95, penerima yang layak terus menikmati harga RON95 pada RM1.99 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM3.47 seliter. Ini bermakna kerajaan menanggung subsidi RM1.48 bagi setiap liter, bersamaan 43 peratus daripada harga tanpa subsidi.
Bagi BUDI Diesel pula, penerima yang layak terus membayar RM2.10 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM4.47 seliter, dengan kerajaan menanggung subsidi RM2.37 seliter atau 53 peratus daripada harga tanpa subsidi.
MOF berkata, rakyat Malaysia yang layak boleh terus membeli petrol RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan. Kerajaan akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.
Foto: jtx1000 dotnet / Wikimedia Commons (CC BY 3.0)




