Pearly-Thinaah juara Terbuka Hong Kong, gelaran ketiga tahun ini

PETALING JAYA: Pearly Tan-M Thinaah membalas kekalahan lalu apabila menjuarai acara beregu wanita Terbuka Hong Kong hari ini selepas menewaskan pasangan Jepun, Sumire Nakade-Miyu Takahashi.
Pemain beregu nombor empat dunia itu memerlukan 40 minit untuk menang 22-20, 21-16 ke atas pasangan Jepun yang berada di tangga ke-11 dunia dalam final Jelajah Dunia Super 500 di Kai Tak Arena.
Kemenangan itu membalas kekalahan straight game di tangan Sumire-Miyu pada Terbuka Taipei, Julai lalu.
Pearly-Thinaah turut merampas semula mahkota Terbuka Hong Kong yang pernah dimenangi mereka pada 2024.
Mereka merupakan satu-satunya pasangan beregu wanita Malaysia yang pernah memenangi gelaran itu sejak kejohanan tersebut mula diadakan pada 1982.
Kejayaan ini merupakan gelaran Jelajah Dunia ketiga mereka tahun ini selepas menjuarai Masters Indonesia pada Januari dan Terbuka Denmark bulan lalu.
Foto: Murray Foubister / Wikimedia Commons (CC BY-SA 2.0)




