Syed Saddiq gagal capai sasaran Ironman, tuisyen percuma RM200,000 untuk pelajar Muar tetap diteruskan

LANGKAWI: Usaha Syed Saddiq Abdul Rahman di Ironman Langkawi tidak sia-sia apabila kanak-kanak kurang berkemampuan di Muar tetap menerima tajaan tuisyen bernilai RM200,000 walaupun beliau gagal mencapai sasaran di bawah 12 jam.
Penyedia pendidikan dan tuisyen PTTI, yang bekerjasama dengan Ahli Parlimen Muar itu dalam cabaran berkenaan, memutuskan untuk meneruskan tajaan sebagai pengiktirafan terhadap keazaman beliau menamatkan perlumbaan yang sukar itu pada Sabtu, 21 November.
Bekas menteri belia dan sukan itu melepasi garisan penamat di Pantai Cenang dalam masa 12 jam, 48 minit dan 38 saat, selepas menyelesaikan renang 3.8 kilometer, berbasikal 180 kilometer di laluan berbukit dan maraton 42.2 kilometer.
"Kami gembira mengumumkan pelajar di Muar akan menerima tuisyen percuma bernilai RM200,000 yang ditaja PTTI, hasil usaha Syed Saddiq. Tahniah kepada Syed Saddiq. Teruskan berkhidmat kepada rakyat, manakala kami di PTTI akan memainkan peranan dalam pendidikan," kata PTTI dalam kenyataan pada Ahad.
PTTI turut berpesan kepada pelajar penerima tajaan supaya belajar bersungguh-sungguh dan menjadikan kegigihan Syed Saddiq sebagai inspirasi untuk mencapai keputusan cemerlang.
Syed Saddiq sebelum itu mengakui beliau bergelut sepanjang perlumbaan dan beberapa kali terfikir untuk berhenti. "Ia hari yang buruk bagi saya. Saya hampir berputus asa banyak kali. Tetapi saya tahu saya harus menamatkannya kerana mahu menunjukkan bahawa apabila anda menolak minda dan badan sehingga had, anda menjadi penjawat awam yang lebih baik," katanya.
Beliau berkata laluan tahun ini jelas lebih mencabar, daripada segi renang hingga kayuhan basikal dengan ketinggian laluan yang tinggi, selain cuaca yang terlalu panas. "Saya periksa jam tangan, suhu kira-kira 33 darjah Celsius tetapi terasa seperti 36 darjah Celsius," katanya.
Menurutnya, beliau mula berlari maraton penuh pada pukul 3.30 petang dan pada 20 kilometer terakhir sudah muntah serta mengalami kejang otot berulang kali. "Tetapi inilah Ironman. Ia bertujuan menolak badan dan minda sehingga had. Saya gembira dapat menamatkannya," katanya.




