'Tiada apa nak disembunyikan' – pembantu Hannah Yeoh selepas beri keterangan kepada SPRM isu tanah KLSCAH

PETALING JAYA: Pembantu kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh, Yap Yee Vonne, menegaskan tiada salah laku dalam keputusan pajakan tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH).
Yap berkata beliau hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada Khamis, ditemani peguamnya Sangeet Kaur Deo, untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan isu itu.
“Saya memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses rakaman keterangan dan bersedia memberikan sebarang maklumat atau penjelasan lanjut sekiranya diperlukan SPRM,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Menurut Yap, keputusan berhubung lanjutan pajakan itu dibuat selepas pertimbangan sewajarnya dan mengikut prosedur yang ditetapkan, seperti yang dijelaskan Yeoh sebelum ini di Dewan Rakyat.
“Kami tidak melakukan sebarang kesalahan, dan kami tiada apa yang perlu disembunyikan atau ditakuti,” tulisnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pegawai SPRM atas profesionalisme mereka dan menyifatkan mereka hanya menjalankan tugas. Namun, katanya, sumber dan tumpuan suruhanjaya itu wajar diarahkan kepada perkara yang lebih mendesak untuk kepentingan awam.
“KLSCAH ialah institusi warisan yang mempunyai kepentingan sejarah dan budaya, yang wajar mendapat sokongan dan perlindungan kita bersama, bukannya kontroversi berterusan,” katanya.
Pada Rabu, dilaporkan tiga pegawai SPRM mengunjungi pejabat Yeoh di Jabatan Wilayah Persekutuan dan meminta Yap hadir ke suruhanjaya itu bagi membantu siasatan. Yeoh kemudian mengesahkan kunjungan tersebut menerusi hantaran Facebook pada Khamis.
Siasatan SPRM itu berkaitan kelulusan kerajaan pada 14 November terhadap pembaharuan pajakan 99 tahun untuk KLSCAH dengan premium tanah nominal RM1,000, berbanding anggaran premium awal kira-kira RM4.67 juta.
Pada 23 November, Yeoh menjelaskan di Dewan Rakyat bahawa permohonan awal yang dikemukakan pada 12 September 2025 dinilai berdasarkan klasifikasi komersial tanah itu, sebelum pihak KLSCAH merayu supaya premium diturunkan.
Menurutnya, permohonan itu disemak dengan menukar kegunaan tanah daripada komersial kepada institusi, dan Jawatankuasa Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meluluskan pajakan 99 tahun itu pada 14 September 2026, tertakluk kepada kegunaan institusi.
Foto: Hitoribocchi from Singapore. / Wikimedia Commons (CC BY 2.0)




