KUALA LUMPUR: Tuduhan yang mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menderhaka terhadap institusi diraja disifatkan sebagai satu fitnah jahat dan tidak berasas, kata Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah.

Menurut Mohd Shahar, jika Ketua Pembangkang melemparkan tuduhan tersebut dengan merujuk kepada titah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengenai tahanan rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak, perkara itu telah dijawab oleh Anwar.

Perdana Menteri menjelaskan bahawa titah tersebut tidak pernah diserahkan kepada beliau dan menegaskan bahawa urusan berkaitan titah adendum adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara (AGC), bukan di bawah tanggungjawab Perdana Menteri.

“Menyatakan fakta yang benar tidak boleh dianggap sebagai penderhakaan,” katanya yang mewakili Kelab Penyokong Kerajaan Madani (BackBenchers) pada sidang media di Parlimen, hari ini.

Shahar turut mendakwa bahawa manipulasi fakta oleh pembangkang merupakan taktik lama untuk mengelirukan rakyat dengan memainkan sentimen institusi diraja demi kepentingan politik mereka sendiri. Beliau menambah, ia juga merupakan cubaan yang tidak bertanggungjawab untuk mencetuskan keresahan dalam kalangan rakyat.

Berhubung dakwaan bahawa pelabur tidak akan masuk ke negara ini ekoran kononnya berlaku penderhakaan, Shahar berkata ia adalah dakwaan yang tidak berasas. Menurutnya, pelaburan bergantung kepada dasar dan keadaan ekonomi negara, bukan fitnah politik. Fitnah seperti itu bukan sahaja mencerminkan ketidakmatangan politik tetapi juga boleh merosakkan hubungan antara kerajaan dan institusi diraja serta menjejaskan imej negara di peringkat antarabangsa.

“Ketua Pembangkang seharusnya lebih bertanggungjawab dalam mengeluarkan kenyataan, bukan menyebarkan dakwaan tidak berasas demi kepentingan politik semata-mata,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan bahawa komitmen Perdana Menteri terhadap institusi diraja sepanjang pentadbirannya adalah sentiasa menunjukkan penghormatan yang tinggi dan berpegang teguh kepada prinsip Raja Berperlembagaan. Semua tindakan kerajaan, katanya, selari dengan peruntukan Perlembagaan dan mengutamakan kepentingan negara.

“Sehubungan itu, kami menegaskan bahawa tuduhan Ketua Pembangkang adalah tidak benar dan hanya bertujuan menghasut rakyat.

“Rakyat perlu menolak politik fitnah dan memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negara,” katanya. Semalam, Dewan Rakyat kecoh apabila Datuk Seri Hamzah Zainuddin membangkitkan isu kewujudan titah tersebut serta dakwaan penderhakaan terhadap institusi diraja.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kemudiannya melarang sebarang perbahasan berkaitan titah adendum dalam sidang Parlimen kali ini. Larangan itu dibuat berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(2) selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) mempersoalkan tindakan ahli Parlimen pembangkang. Johari juga melarang penggunaan perkataan “derhaka” dalam perbahasan mengenai isu titah berkenaan mengikut Peraturan Mesyuarat 36(7).

Selanjutnya daripada Warta Malaysia