KUALA LUMPUR: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menegaskan bahawa baginda tidak bersetuju dengan cadangan mewujudkan garis panduan bagi umat Islam yang menghadiri majlis perayaan orang bukan Islam, khususnya di negeri Selangor.

Sebagai Ketua Agama Islam di negeri Selangor, baginda berpendapat bahawa cadangan tersebut tidak sesuai pada masa ini kerana rakyat sedang berusaha untuk mengeratkan amalan muhibah antara masyarakat berbilang kaum dan agama demi memperkukuhkan perpaduan nasional.
Baginda bertitah bahawa polemik yang tercetus akibat cadangan ini telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat dan berpotensi untuk menjejaskan keharmonian yang telah terjalin.
“Islam menerusi al-Quran dan sunnah adalah garis panduan terbaik sejak zaman berzaman dan diperkuat dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah umat Islam di Malaysia.
“Justeru, isu terpesongnya akidah umat Islam susulan amalan berkenaan tidak timbul kerana beta percaya umat Islam kini tahu tentang batas-batas akidah serta tidak mudah terpengaruh dan bijak menilai baik buruk sesuatu tindakan,” titah baginda.
Cadangan untuk mengeluarkan garis panduan ini timbul berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan umat Islam terlibat dalam elemen ritual atau keagamaan yang boleh menjejaskan akidah mereka semasa menghadiri majlis perayaan bukan Islam.
Garis panduan ini bertujuan memastikan umat Islam tidak terlibat dalam elemen ritual atau keagamaan yang boleh menjejaskan akidah.
Walau bagaimanapun, cadangan ini mendapat kritikan pelbagai pihak, termasuk pemimpin bukan Islam, yang melihatnya sebagai bentuk diskriminasi dan berpotensi merosakkan keharmonian kaum di negara ini.
Baginda turut mengingatkan bahawa sebagai negara majmuk yang rakyatnya menganuti pelbagai agama dan kepercayaan, toleransi dalam beragama seharusnya tidak dikompromi.
“Dalam masa sama, setiap rakyat perlu menghormati dan memperakui bahawa Islam adalah agama persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.