KUALA LUMPUR: Seramai 22 individu yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nasiruddin Mohd Ali, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Mereka terdiri daripada 12 lelaki dan sembilan wanita, dan membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Datuk Seri Latifah Mohd Tahar selepas pertuduhan dibacakan semula secara berasingan susulan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Dua belas tertuduh lelaki yang membuat pengakuan itu ialah Hasnan Abd Hamid, 54, Mohd Shukri Mohd Noor, 54, Mokhtar Tajuddin, 61, Shuhaimi Mohamed, 57, Muhammad Afdaluddin Latif, 35, Mohamad Sayuti Omar, 36, Mohd Fazil Md Jasin, 58, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari, 33, Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 35, Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 52, Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 35 dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 29.
Sembilan tertuduh wanita pula ialah Hamimah Yakub, 72, Azura Md Yusof, 58, Asmat@Asmanira Muhammad Ramly, 45, Mahani Kasim, 55, Siti Salmiah Ismail, 58, Siti Hajar Ismail, 52, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 28, Nurul Jannah Idris, 29 dan Nur Jannah Omar, 33.
Kesemua tertuduh didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang GISBH di Jalan Desa Bandar Country Homes, Rawang pada Oktober 2020 hingga 11 September 2024.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Shafiq Hasim, tidak mencadangkan sebarang jaminan kerana kesalahan tersebut adalah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) 2012.
Peguam Datuk Rosli Kamaruddin, yang mewakili 21 tertuduh kecuali Hamimah, memaklumkan bahawa pihaknya sedang melengkapkan permohonan jaminan bagi 21 individu tersebut.
“Daripada jumlah berkenaan, 17 telah difailkan namun belum teratur dengan kami akan memasukkan afidavit seperti sijil kesihatan.
“Sementara, empat lagi permohonan akan difailkan minggu ini. Semuanya akan dilengkapkan dalam tempoh seminggu sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
Mahkamah menetapkan 17 Mac depan untuk mendengar hujahan permohonan jamin bagi 21 tertuduh. Sementara itu, Hamimah diberikan ikat jamin RM40,000 dengan dua penjamin pada 13 Januari lepas.
Pada 23 Oktober tahun lalu, Nasiruddin, Azura, Mohammad Adib At-Tamimi Asa’ari, dan 19 pemimpin tertinggi GISBH turut didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas satu pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020.
Ketika sebutan, kesemua ahli mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Lailatul Zuraida Harron @ Harun dengan tiada sebarang pengakuan direkodkan berikutan kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.