Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di 11 Sekolah Menengah Cina (SMC) di Pulau Pinang rayu Kementerian Pendidikan (KPM) pertimbang arahan untuk mengadakan sekurang-kurangnya satu kelas pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu di SMC.

Pengerusi Lembaga Pengarah SMC Pulau Pinang, Datuk Seri Gooi Hean Huat, berkata langkah KPM tidak selari dan bertentangan dengan tujuan asal Program Dwibahasa (DLP) untuk memperkukuhkan pembelajaran pelajar dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Kementerian Pendidikan sepatutnya memperkasakan mata pelajaran bahasa jika ingin meningkatkan kemahiran bahasa Melayu pelajar. Pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu akan hanya mengambil masa pelajar menguasai bahasa Melayu pula kerana telah terbiasa dengan DLP.

“Langkah ini dianggap tidak tepat sasaran dan mungkin tidak mencapai hasil yang diinginkan,” katanya.

Menurut Sin Chew Daily, tiada pelajar yang mahu mengambil kelas yang mengajar sains dan matematik dalam Bahasa Melayu.

Ketua PIBG Sekolah Menengah Chung Ling berkongsi pengalamannya mempelajari sains dan matematik dalam bahasa Melayu semasa di sekolah menengah dan apabila melanjutkan pengajian di universiti subjek tersebut diajar dalam Bahasa Inggeris.

Ini memberi impak yang agak besar kepadanya. Beliau berpendapat bahawa perlu ada tahap kesinambungan tertentu.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia