KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan bahawa Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Kuantiti Bagi Barang-Barang Tersedia Bungkus) 2023 telah diwartakan pada 2 Oktober 2023 dan berkuatkuasa sepenuhnya mulai 4 Jun 2024.
KPDN dalam satu kenyataan berkata, pewartaan ini bertujuan memastikan pengilang, pengeluar, pengimport, dan pemborong mematuhi standard penandaan kuantiti pada label bungkusan bagi semua produk dan barangan tersedia bungkus yang dijual dalam pasaran negara.
“Pelaksanaan perintah ini membolehkan anggota penguat kuasa KPDN menjalankan pemeriksaan dan ujian ketepatan kuantiti produk di peringkat pengilangan. Ini bertujuan untuk mencegah penipuan kuantiti sebenar produk-produk tersedia bungkus yang akan dipasarkan.
“Penguatkuasaan perundangan ini dijangka membantu pengguna memperoleh maklumat jelas mengenai kuantiti produk, sekaligus meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk tersedia bungkus yang berada di pasaran,” katanya.
Pewujudan perintah ini juga menunjukkan komitmen negara dalam mengharmonikan perundangan pengukuran (legal metrology) dalam kalangan negara ASEAN. Ini bertujuan mengelak halangan teknikal dalam perdagangan antara negara-negara anggota.
KPDN turut memaklumkan bahawa tindakan penguatkuasaan boleh diambil di bawah Perintah Perihal Dagangan (Penandaan Kuantiti Bagi Barang-Barang Tersedia Bungkus) 2023 sekiranya berlaku ketidakpatuhan.
“Hukuman yang dikenakan kepada syarikat adalah denda tidak melebihi RM200,000. Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM500,000.
“Individu pula, tidak melebihi RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali,’ katanya.
Pewartaan perintah ini diharap dapat mempertingkatkan kawalan dalaman pihak industri bagi memastikan kuantiti setiap produk tersedia bungkus adalah tepat dan tidak merugikan pengguna, sekaligus memperkukuhkan integriti industri dan perlindungan pengguna di Malaysia.