Kuala Lumpur: BERSATU berikrar untuk membantu calon Pas yang mewakili Perikatan Nasional (PN) bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada 6 Julai ini.
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, menyatakan bahawa parti itu akan berkampung di Sungai Bakap untuk menyokong calon PAS dalam usaha mempertahankan kerusi yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Ogos lalu.
Azmin juga menyatakan keyakinan bahawa dengan sokongan kuat dari BERSATU dan parti komponen PN lainnya, calon PAS akan berjaya meraih kemenangan pada PRK tersebut.
“BERSATU malam ini berikrar depan pimpinan PAS bahawa kami akan berkampung di Sungai Bakap kerana calon PAS adalah calon PN.
“Kami akan berkhidmat sebagai PN dan Insya-Allah kita akan menang di Sungai Bakap pada 6 Julai nanti,” katanya berucap pada majlis Pelancaran Jentera PRK PN N20 Sungai Bakap di Pejabat PAS kawasan Nibong Tebal, di sini, malam ini.
Turut hadir pada majlis pelancaran jentera PRK PN N20 Sungai Bakap adalah Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad; Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan; serta beberapa pimpinan tertinggi parti komponen PN.
Dalam ucapan beliau, Azmin menekankan bahawa PN perlu memiliki jentera yang bertenaga dan kuat bagi mengekalkan kemenangan dalam PRK tersebut.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada 6 Julai ini, dengan tarikh penamaan calon dan pengundian awal ditetapkan pada 22 Jun dan 2 Julai.
“Ada musuh politik melemparkan tuduhan kita ini kumpulan pelampau, ekstremis tetapi sebenarnya kita memilih jalan demokrasi kerana ini jalan yang dipilih dalam undang-undang dan Perlembagaan negara.
“Kita bukan guna parang mahupun pedang tetapi senjata yang akan kita gunakan adalah fakta dan ilmu supaya rakyat Sungai Bakap terus bangkit bersama PN dalam PRK ini.
“Tidak kira (jentera) sama ada golongan wanita, anak muda, cawangan, bahagian dan kawasan perlu kuat dan bertenaga untuk pastikan kemenangan,” tambahnya lagi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian bagi PRK DDUN Sungai Bakap pada 6 Julai ini.
PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya, Nor Zamri, pada Mei lalu, yang menewaskan calon Pakatan Harapan (PH) pada PRN Pulau Pinang Ogos tahun sebelumnya.