Kuala Lumpur: Aliff Aziz, 33, telah memutuskan untuk memberikan hak penjagaan dua anak kepada bekas isterinya, Bella Astillah, 30, kerana dia adalah ibu kandung.
Menurut Berita Harian, Keputusan itu dibuat selepas prosiding di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, hari ini. Aliff menegaskan bahawa keputusan tersebut adalah hasil perbincangan dalam mahkamah.
“Sebab dia (Bella) ibu kandung. Saya enggan mengulas perkara itu secara terperinci tetapi apa yang dibincangkan dalam mahkamah ini, itulah keputusannya,” katanya kepada pemberita sebaik prosiding berakhir, di sini.
Bagaimanapun, Aliff enggan mengulas lebih lanjut mengenai perkara tersebut dan juga tidak mahu memberi komen mengenai pertemuan terakhirnya dengan anak-anak.
“Berkenaan anak-anak, saya tak nak komen apa-apa. Bagi saya, ada perkara boleh dikongsikan dan ada yang tidak perlu buat masa ini.
“Saya bersyukur prosiding hari ini semua lancar. Saya berterima kasih kepada ayah kerana menemani saya pada hari ini,” katanya.
Beliau meminta ruang dan masa daripada semua pihak.
Aliff juga menyatakan bahawa dia sedang berehat seketika dari kegiatan seni dan perceraian dengan Bella tidak akan memberi kesan kepada kerjayanya.
Baginya, rezeki adalah di tangan Allah dan dia lebih cenderung untuk muhasabah diri.
“Berkenaan rezeki, untuk saya ada satu keyakinan bahawa rezeki di tangan Allah. Saya lebih kepada muhasabah diri. Semoga yang baik akan berlaku pada semua pihak,” katanya.
Aliff dan Bella berkahwin pada 9 September 2016 dan mempunyai dua orang anak, iaitu Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.