KUALA LUMPUR: Meskipun berbangga dengan usaha gigih anak buahnya dalam mengendalikan kes ini, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain, berkata hakikat pendakwaan hari ini perlu diterima dengan hati terbuka.
“We are so close, yet so far (Kita dah hampir-hampir ke penamat, namun hakikatnya masih jauh),” kata Mohd Shuhaily, merujuk kepada pencapaian kes tersebut yang tidak mencapai matlamat asal, iaitu pertuduhan kesalahan bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memetik laporan Berita Harian hari ini.
Mohd Shuhaily turut menyatakan bahawa penyelesaian kes ini menunjukkan komitmen tinggi yang ditunjukkan oleh pegawai dan anggota polis.
“Mereka ini berhempas-pulas menjalankan siasatan tanpa mengira penat lelah siang dan malam dalam bekerja secara ikhlas dalam melaksanakan amanat dan tanggungjawab yang diberikan.
“Mereka ini seharusnya wajar diberikan penghargaan sedalam-dalamnya selepas melunaskan tugas mereka sepanjang tempoh enam bulan,” katanya.