KUALA LUMPUR: Kumpulan rock Cokelat kembali bersatu selepas hampir 12 tahun berpisah.
Walaupun awalnya agak kekok, mereka akhirnya mampu mengatasi perasaan itu apabila mengambil pendekatan santai semasa bersama di studio.
Menurut Harian Metro, vokalis kumpulan tersebut, Kikan berkata, cadangan untuk keluar makan bersama sebelum berlatih bersama membantu mereka menghidupkan semula ‘chemistry’ yang dulu pernah ada.
“Pada awalnya kami sedikit janggal apabila terus masuk ke studio bersama-sama selepas lama terpisah. Malah, timbul di benak fikiran sama ada idea ini salah dan kami tidak seharusnya kembali bekerjasama.
“Namun pengurus yang juga suami saya mencadangkan untuk kami keluar makan bersama. Dari situlah, kami mula selesa sebelum kembali ke studio untuk berlatih bersama-sama.
“Tidak mungkin selepas 12 tahun kami boleh terus ‘jamming’ seperti tiada apa yang berlaku. Namun ‘chemistry’ itu kembali wujud selepas kami makan tengahari dan berborak bersama,” kata Kikan.
Kikan juga berkongsi bahawa beliau sebenarnya tidak senang apabila masih dipanggil dengan nama Kikan Cokelat selepas meninggalkan kumpulan pada tahun 2010.
“Saya ini Kikan Namara, saya usaha bermati-matian melepaskan diri dari bayang-bayang Cokelat tetapi siapa sangka akhirnya kami bersatu kembali pada 2022.
“Mungkin ini rahsia Allah. Tak pernah terlintas di fikiran saya untuk bergabung dengan abang-abang saya di sini. Jadi reunion ini sangat istimewa,” katanya.
Namun, berkat usaha bersungguh-sungguh dari pemain gitar Edwin dan pengurus Udzir Harris, mereka berhasil meyakinkannya untuk kembali.
“Sebenarnya saya memang marah dengan Udzir yang juga suami saya pada awalnya kerana berhubung dengan Cokelat selepas sekian lama kami memilih jalan masing-masing,” kata Kikan lagi.
Keputusan Kikan untuk meninggalkan kumpulan dahulu adalah demi memberi fokus kepada keluarga, terutama anak-anaknya yang masih kecil waktu itu.
“Selama dua tahun saya berperang dengan batin sebelum akhirnya membuat keputusan memilih keluar kerana merasakan itu yang terbaik,” katanya.
Reunion kembali ini menjadi sangat istimewa bagi Kikan dan bandnya, yang juga termasuk Ernest, Ronny, dan Ervin.
Mereka secara rasminya bersatu semula pada Hari Kemerdekaan Indonesia, 17 Ogos 2022.
Untuk meraikan kembalinya Cokelat, mereka akan mengadakan konsert mega di Zepp Kuala Lumpur pada 7 September, yang dianjurkan oleh Tanjak Global Services. Tiket untuk konsert ini dijual pada harga RM139 hingga RM380.