Ketua IAEA gesa Iran beri akses segera kepada kemudahan nuklear

NEW YORK: Ketua Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Grossi menggesa Iran supaya bekerjasama dengan agensi itu tanpa berlengah dan membenarkan akses kepada kemudahan nuklearnya, dalam satu mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Saya menjemput Iran untuk bekerjasama dengan IAEA tanpa sebarang kelewatan lagi bagi menjelaskan persoalan perlindungan yang masih belum selesai, serta memberikan maklumat dan akses yang diperlukan agensi supaya ia dapat mengesahkan semua kemudahan dan bahan berkaitan, sebagaimana kewajipan undang-undang Iran," katanya.
IAEA tidak mempunyai akses kepada kemudahan nuklear utama Iran sejak Israel, disertai Amerika Syarikat (AS), melancarkan konflik selama 12 hari pada Jun 2025 yang turut menyaksikan serangan ke atas tapak nuklear negara itu.
Kemudahan nuklear Iran juga terjejas dalam perang terbaharu yang meletus pada 28 Februari lalu, dan IAEA berulang kali meminta akses ke tapak-tapak berkenaan.
Mesyuarat Majlis Keselamatan itu diadakan susulan resolusi lembaga IAEA bulan lalu yang merujuk Iran kepada badan tertinggi PBB itu atas dakwaan "ketidakpatuhan" nuklear.
Resolusi yang dikemukakan Britain, Perancis, Jerman dan AS itu merupakan kali pertama dalam tempoh 20 tahun Iran dirujuk kepada Majlis Keselamatan kerana gagal mematuhi kewajipan pelaporan nuklearnya.
Langkah itu bagaimanapun dilihat lebih bersifat simbolik kerana China dan Rusia mempunyai kuasa veto untuk menghalang sebarang sekatan terhadap sekutu mereka, Tehran. Kedua-dua negara itu, bersama Niger, mengundi menentang resolusi IAEA tersebut.
Wakil Iran ke PBB, Amir Saeid Iravani pula membidas sikap "berdiam diri" Majlis Keselamatan terhadap serangan AS dan Israel ke atas negaranya.
"Mesyuarat hari ini menggambarkan satu double standard yang sudah lama wujud, di mana penceroboh dilindungi tanpa hukuman, mangsa dikritik, dan bahasa tidak percambahan senjata nuklear diperalatkan secara sinis untuk memajukan objektif geopolitik," katanya.
Sebelum serangan pada Jun 2025, IAEA menganggarkan Iran memiliki kira-kira 440 kilogram uranium yang diperkaya sehingga 60 peratus, hampir dengan tahap 90 peratus yang diperlukan untuk menghasilkan bom dan jauh melebihi had 3.67 peratus di bawah perjanjian 2015 yang kini tidak lagi berkuat kuasa. Nasib simpanan itu kekal tidak diketahui sejak itu.
Presiden AS, Donald Trump berulang kali mengugut untuk melancarkan semula serangan ke atas Iran, mungkin selepas pilihan raya pertengahan penggal minggu depan.
"Adakah saya membuat perjanjian dengan mereka, atau saya habiskan mereka? Itu sahaja persoalannya," kata Trump dalam satu wawancara bersama Fox News pada Ahad.
Foto: IAEA Imagebank / Wikimedia Commons (CC BY 2.0)




