Jumaat, 30 Oktober 2026
TERKINI
Longkang tidak dibersih punca banjir kilat di Taman Indah KLIA, SepangPRN Melaka: Kerk berdepan cabaran sengit pertahan Ayer Keroh, Gerakan diuji isu 'perpaduan Melayu'Kiandee persoal Bersatu: Pecat juga Muhyiddin dan lima Ahli Parlimen yang tandatangani CSA?Pembinaan pertahanan di Sabah bukan tindak balas terhadap Filipina – KhaledPeruntukan jalan luar bandar naik hampir tiga kali ganda, projek tidak dibatalkan – Tengku ZafrulPulau Pinang unjur defisit bajet terendah RM5.26 juta bagi 2027Mahkamah Tinggi Shah Alam benar bekas olimpik simpan tiga kucing di kondominiumPersiapan Deepavali rancak di seluruh negara, pasar dan kedai mula dibanjiri pengunjungPindaan UUCA dibentang Disember, kerajaan kaji nyahklasifikasi dokumen sejarahPolis siasat paparan kandungan lucah pada LED milik Majlis Perbandaran Kluang

Peruntukan jalan luar bandar naik hampir tiga kali ganda, projek tidak dibatalkan – Tengku Zafrul

SHAH ALAM: Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, menegaskan bahawa peruntukan jalan luar bandar telah meningkat hampir tiga kali ganda dan Kementerian Kewangan (MoF) tidak pernah mengeluarkan arahan membatalkan projek.

Dalam hantaran di Facebook pada Jumaat, beliau menjawab dakwaan bahawa peruntukan jalan luar bandar, khususnya di Sabah dan Sarawak, sengaja dikurangkan, selain gesaan supaya MoF menarik balik arahan pembatalan projek. Menurutnya, pihak berkenaan perlu melihat angka sebenar perbelanjaan dan garis masa pelaksanaan.

Tengku Zafrul berkata, RM3.7 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan jalan raya luar bandar dari 2018 hingga 2022, manakala RM11 bilion disalurkan dari 2023 hingga 2027.

Bagi Sabah dan Sarawak sahaja, perbelanjaan sebenar tahun ini mencecah RM1.41 bilion, iaitu tertinggi dalam tempoh 10 tahun. Sejak 2023, sebanyak RM4.6 bilion telah dibelanjakan.

“Setiap tahun, kira-kira separuh daripada perbelanjaan jalan luar bandar seluruh negara disalurkan ke Sabah dan Sarawak. Dua negeri ini tidak dipinggirkan, sebaliknya didahulukan,” katanya.

Mengenai penangguhan sesetengah projek, beliau berkata perbelanjaan jalan luar bandar sejak 2022 melebihi peruntukan asal yang diluluskan Parlimen setiap tahun. Komitmen kontrak terus bertambah sehingga berlaku tunggakan bayaran kepada kontraktor.

“Penangguhan kontrak baharu juga tidak bererti projek sedia ada dibatalkan. MoF tidak pernah mengeluarkan arahan membatalkan projek. Kontrak baharu ditangguhkan bagi mengelakkan tunggakan bayaran terus meningkat. Itu dua perkara yang berbeza,” katanya.

Pada Khamis, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan MoF meluluskan tambahan RM500 juta kepada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah melalui Surat Kebenaran Berbelanja bagi membantu menyelesaikan tunggakan bayaran kontraktor. Jumlah itu di luar Notis Perubahan sebanyak RM491 juta yang diluluskan lebih awal.

Tengku Zafrul berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan meluluskan peruntukan itu, yang diperoleh daripada penjimatan peruntukan pembangunan kementerian lain.

Beliau memahami masih banyak kampung di Sabah dan Sarawak menunggu infrastruktur jalan raya yang lebih baik. Justeru, kerajaan menyediakan RM2.27 bilion bagi pembangunan jalan luar bandar serta RM34.9 bilion untuk Sabah dan Sarawak menerusi Belanjawan 2027, jumlah tertinggi antara semua negeri.

“Sabah dan Sarawak tidak wajar dijadikan modal politik oleh sesiapapun. Apa yang penting adalah projek dilaksanakan, kontraktor dibayar dan rakyat mendapat manfaat,” katanya.

TopikTengku ZafrulKementerian KewanganJalan luar bandarSabahSarawak

Berita berkaitan