KUALA LUMPUR: Pereka fesyen Malaysia, Rizman Ruzaini (RR), telah mencatat sejarah baru dalam dunia fesyen negara apabila busana rekaannya dipakai oleh penyanyi terkenal, Lady Gaga semasa konsert residensinya di Las Vegas.
Lady Gaga mengenakan gaun panjang berwarna merah jambu yang direka oleh RR, yang dihiasi dengan ribuan batu Swarovski ketika menyanyikan lagu hitnya “Americano”.
Kegembiraan ini turut dikongsi oleh RR melalui Instagram, menunjukkan proses pembuatan pakaian tersebut dengan teliti.
“Telefon Paparazi kerana kami berada di The Edge of Glory! Ini adalah Lady Gaga mengenakan rekaan khas Rizman Ruzaini ketika menyanyikan ‘Americano’ di residensi Las Vegas.
Ini membuatkan kami ingin melepaskan segalanya dan Just Dance,” kongsi RR.
Ini bukan kali pertama kejayaan RR mencorak fesyen antarabangsa, selepas sebelum ini model legenda Naomi Campbell telah memperagakan busana rekaan mereka dalam Minggu Fesyen Dubai pada Oktober tahun lepas.
RR juga mendedahkan bahawa mereka membayar sebanyak RM3 juta untuk menempah model terkemuka tersebut bagi memperagakan pakaian mereka.
Kejayaan ini menunjukkan prestasi gemilang RR dalam menarik perhatian di peringkat global melalui rekaan-rekaan fesyen mereka yang unik dan eksklusif.