Lebih 500 rumah terjejas banjir di Sungai Buloh, mangsa dipindahkan ke Dewan Siantan

SUNGAI BULOH: Lebih 500 rumah terjejas banjir selepas hujan lebat melanda beberapa kawasan sekitar Sungai Buloh, Selangor, terutamanya Kampung Melayu Subang.
Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan, berkata penduduk yang terjejas telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara yang dibuka di Dewan Siantan, Kampung Melayu Subang.
Menurut beliau dalam hantaran di Facebook pada malam Isnin, pusat itu akan terus beroperasi selama mana diperlukan bagi memastikan penduduk menerima tempat perlindungan dan bantuan yang mencukupi.
Ramanan memaklumkan Pusat Khidmat Parlimen Sungai Buloh bersama sukarelawan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan, terutamanya Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Majlis Bandaraya Shah Alam serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Pemantauan turut dilakukan bersama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Pasukan Pertahanan Awam Malaysia serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melayu Subang bagi memastikan keselamatan dan kebajikan penduduk terjaga serta keperluan asas mereka dipenuhi.
"Saya juga menyeru semua penduduk Sungai Buloh supaya sentiasa berwaspada terhadap keadaan cuaca, mengikut arahan pihak berkuasa dan mengutamakan keselamatan diri serta keluarga, terutamanya yang tinggal di kawasan mudah banjir," katanya.
Beliau menegaskan keselamatan awam menjadi keutamaan dan pusat khidmat itu akan terus memantau keadaan serta bekerjasama dengan semua pihak supaya tiada penduduk terjejas yang tidak mendapat bantuan diperlukan.
"Semoga segalanya berjalan lancar dan semua penduduk kekal selamat," katanya.
Foto: Ab Rahman / Wikimedia Commons (CC BY-SA 3.0)




