Perintah geran khas Sabah diwartakan sebelum akhir tahun, baki RM900 juta dibayar kemudian – Amir Hamzah

KUALA LUMPUR: Perintah berkaitan geran khas tahunan Sabah dijangka diwartakan sebelum akhir tahun ini, dan baki bayaran akan dikeluarkan selepas proses itu selesai, kata Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata, sebanyak RM600 juta telah pun dibayar kepada kerajaan negeri, manakala bakinya akan disalurkan selepas perintah itu diwartakan.
"Insya-Allah, perintah itu akan diwartakan sebelum akhir tahun ini. Baki akan dibayar sebaik proses itu selesai," katanya ketika menggulung perbahasan peruntukan Kementerian Kewangan bagi Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.
Amir Hamzah menjawab pertanyaan Wilfred Madius Tangau (GRS-Tuaran) yang bertanya bila baki RM900 juta akan dibayar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan pada Mei lalu bahawa geran khas tahunan Sabah dinaikkan daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion. Bayaran pertama berjumlah RM600 juta dikeluarkan pada 12 Jun.
Jumlah RM1.5 bilion itu merupakan bayaran interim sementara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sabah menentukan jumlah penuh yang terhutang kepada negeri itu menurut Perlembagaan Persekutuan.
Di bawah perlembagaan, Sabah berhak menerima 40 peratus daripada peningkatan bersih hasil Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu berbanding jumlah yang dikutip pada 1963. Namun, kedua-dua kerajaan masih belum mencapai persetujuan mengenai jumlah yang perlu dibayar menerusi formula tersebut.
Madius turut meminta jaminan bahawa perintah baharu itu tidak menjejaskan hak perlembagaan Sabah terhadap perkongsian hasil 40 peratus. Amir Hamzah berkata, kerajaan Persekutuan tidak pernah menafikan hak Sabah terhadap bayaran tersebut.
Dalam perkembangan lain, Amir Hamzah berkata Jabatan Akauntan Negara merekodkan lebih RM14 bilion wang tidak dituntut setakat 30 September.
Beliau berkata, kurangnya kesedaran orang ramai tentang kewujudan wang itu dan hak untuk menuntutnya antara sebab utama wang berkenaan kekal tidak dituntut.
"Antara faktor lain ialah kegagalan menjejaki pemilik dana kerana maklumat perhubungan yang tidak dikemas kini," katanya.
Menurut beliau, kerajaan telah memperkenalkan beberapa langkah bagi memudahkan proses pemulangan wang itu kepada pemiliknya, termasuk mereka di kawasan luar bandar. Portal eGUMIS jabatan itu memudahkan orang ramai menyemak dan menuntut wang tidak dituntut secara dalam talian.
Foto: Embassy of Japan in Malaysia (在マレーシア日本国大使館) / Wikimedia Commons (CC BY 4.0)




