Warga Taiwan rempuh anggota trafik dipandu pengaruh dadah bakal didakwa esok

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Taiwan berusia 52 tahun yang merempuh seorang anggota polis bermotosikal di Jalan Tun Sambanthan pada Sabtu lalu akan didakwa di Mahkamah Majistret Trafik di sini esok.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa, berkata lelaki itu akan dituduh mengikut Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana didakwa memandu di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kecederaan kepada anggota polis terbabit.
Menurut beliau, suspek turut akan menghadapi pertuduhan di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 susulan siasatan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.
"Prosiding dijadual bermula pada 9.30 pagi esok di Mahkamah Majistret Trafik Jalan Duta," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mohd Zamzuri berkata anggota polis berusia 42 tahun itu dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta pada kira-kira 8.50 malam Sabtu lalu ketika dalam perjalanan pulang selepas selesai bertugas.
Siasatan awal mendapati kereta dipandu suspek sedang bergerak dari Ampang menuju ke Brickfields apabila melanggar motosikal mangsa.
Suspek didakwa cuba melarikan diri dari tempat kejadian, namun berjaya ditahan oleh seorang lagi anggota polis. Mangsa mengalami kecederaan pada tangan dan kakinya.
Polis turut menemui satu bungkusan yang dipercayai pil ekstasi ketika memeriksa kenderaan itu, manakala ujian saringan air kencing awal mendapati suspek positif methamphetamine, ketamin dan amphetamine.
Suspek ditahan reman selama empat hari bermula Ahad lalu bagi membantu siasatan.
Foto: CEphoto, Uwe Aranas / Wikimedia Commons (CC BY-SA 3.0)




