Wang tak dituntut cecah lebih RM14 bilion setakat September 2026 – Amir Hamzah

KUALA LUMPUR: Jabatan Akauntan Negara merekodkan lebih RM14 bilion wang tidak dituntut setakat 30 September 2026, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau berkata kurangnya kesedaran dan pengetahuan orang ramai tentang kewujudan dana berkenaan serta hak mereka untuk menuntutnya antara faktor utama yang menyumbang kepada jumlah itu.
"Faktor lain termasuk kegagalan mengesan pemilik dana kerana maklumat perhubungan seperti alamat dan nombor telefon sudah lapuk atau tidak tepat, serta kurang kesedaran mengenai kewujudan wang tidak dituntut, terutamanya apabila pemilik tidak sedar masih ada dana yang terhutang kepada mereka oleh entiti atau syarikat," katanya ketika penggulungan perbahasan Kementerian Kewangan pada peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang Perbekalan di Dewan Rakyat hari ini.
Amir Hamzah berkata kerajaan telah memulakan beberapa langkah untuk memudahkan proses pemulangan kepada pemilik asal, termasuk mereka yang tinggal di luar bandar.
"Portal eGumis memudahkan orang ramai menyemak dan membuat tuntutan secara dalam talian," katanya.
Pada masa sama, jabatan itu mempergiat usaha meningkatkan kesedaran dan akses orang ramai kepada perkhidmatannya. Sehingga 30 Oktober, jabatan itu telah menganjurkan 176 program jangkauan berkaitan wang tidak dituntut di seluruh negara, berbanding 89 program pada 2025.
Foto: Ermell / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)




