Selasa, 3 November 2026
TERKINI
Warga Taiwan rempuh anggota trafik dipandu pengaruh dadah bakal didakwa esokIndonesia tahan tiga suspek didakwa sadap telefon Presiden PrabowoJualan Proton Oktober cecah 21,624 unit, kedua tertinggi tahun iniKerajaan kaji pengecualian bayaran balik PTPTN untuk peminjam lama – Amir HamzahJais: Kandang penyembelihan ayam di Puchong dipercayai dikendalikan beberapa syarikatNaib presiden MCA kritik Wong Kah Woh isu pengurangan waktu Bahasa Cina di SJKCKerajaan peruntuk lebih RM200 juta untuk sambungan ECRL ke Rantau PanjangWang tak dituntut cecah lebih RM14 bilion setakat September 2026 – Amir HamzahTiada pemain JDT dalam skuad Harimau Malaya, Cheng Hoe panggil 24 pemain ke China11 universiti Malaysia dalam 100 teratas Asia, UKM masuk 20 terbaik buat kali pertama

Jais: Kandang penyembelihan ayam di Puchong dipercayai dikendalikan beberapa syarikat

SHAH ALAM: Kandang penyembelihan ayam di Puchong yang diserbu Jumaat lalu kerana disyaki tidak mematuhi keperluan Islam dipercayai dikendalikan oleh lebih daripada satu syarikat atau entiti.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad, berkata maklumat itu diperoleh daripada individu yang ditahan berhubung kes tersebut.

Beliau berkata Jais sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada pejabat daerah dan tanah bagi mengenal pasti pemilik sebenar premis itu serta syarikat yang berdaftar di alamat berkenaan.

"Justeru, Jais belum berada dalam kedudukan untuk mendedahkan individu atau syarikat yang terlibat. Kami akan memberikan maklumat itu setelah ia disahkan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Menurut Mohd Shahzihan, 12 individu yang dipercayai pekerja warga Bangladesh dan Pakistan ditemui menyembelih ayam dengan cara yang tidak mematuhi kehendak Islam semasa serbuan pada 30 Oktober.

"Penyembelihan dilakukan selepas ayam-ayam itu mati semasa proses pengejutan menggunakan air berelektrik yang melibatkan voltan melebihi paras dibenarkan," katanya.

Premis itu juga tidak mempunyai papan tanda atau maklumat lain yang mengenal pasti perniagaan atau syarikat yang beroperasi di situ.

Mohd Shahzihan turut mengesahkan Jais tiada rekod sebarang permohonan pensijilan halal bagi premis berkenaan, yang tidak memiliki pensijilan halal Malaysia.

Rekod Jais juga menunjukkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) tidak pernah mengeluarkan akreditasi penyembelih bagi aktiviti penyembelihan yang dijalankan di situ.

Kes itu disiasat mengikut Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Seksyen 121F Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Jais turut menggesa pengusaha katering, pengusaha restoran dan masyarakat Islam supaya mendapatkan bekalan ayam daripada pembekal yang mempunyai pensijilan halal dan akreditasi penyembelihan sah menurut undang-undang.

TopikJaisPuchonghalalpenyembelihan ayamSelangor

Foto: Adoscam / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)

Berita berkaitan