Jumaat, 30 Oktober 2026
TERKINI
Longkang tidak dibersih punca banjir kilat di Taman Indah KLIA, SepangPRN Melaka: Kerk berdepan cabaran sengit pertahan Ayer Keroh, Gerakan diuji isu 'perpaduan Melayu'Kiandee persoal Bersatu: Pecat juga Muhyiddin dan lima Ahli Parlimen yang tandatangani CSA?Pembinaan pertahanan di Sabah bukan tindak balas terhadap Filipina – KhaledPeruntukan jalan luar bandar naik hampir tiga kali ganda, projek tidak dibatalkan – Tengku ZafrulPulau Pinang unjur defisit bajet terendah RM5.26 juta bagi 2027Mahkamah Tinggi Shah Alam benar bekas olimpik simpan tiga kucing di kondominiumPersiapan Deepavali rancak di seluruh negara, pasar dan kedai mula dibanjiri pengunjungPindaan UUCA dibentang Disember, kerajaan kaji nyahklasifikasi dokumen sejarahPolis siasat paparan kandungan lucah pada LED milik Majlis Perbandaran Kluang

Majikan wajib utamakan pekerja tempatan sebelum ambil buruh asing – Ramanan

KUALA LUMPUR: Majikan perlu mengutamakan pekerja tempatan melalui portal MyFutureJobs sebelum mengambil pekerja asing, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan.

Beliau berkata Kementerian Sumber Manusia terus mengutamakan rakyat Malaysia dalam pasaran pekerjaan, selaras dengan pelan kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13). Majikan juga perlu menilai dengan teliti keperluan tenaga kerja import.

Ramanan berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 di peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Mengenai kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, beliau berkata langkah itu dijangka memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja. "Bagi PKS (perusahaan mikro, kecil dan sederhana) yang hasil jualan di bawah RM50 juta, kita perlu beri masa untuk mereka menyesuaikan diri," katanya.

Menurut beliau, kerajaan akan melaksanakan kenaikan itu secara berperingkat bagi kumpulan PKS terbabit dengan mengambil kira keupayaan perniagaan, selain memastikan pekerja menerima pampasan setimpal dengan kemahiran dan kelayakan.

Mengenai cadangan membezakan kadar gaji minimum antara pekerja tempatan dengan asing, Ramanan berkata perkara itu memerlukan kajian menyeluruh, terutama dari sudut implikasi undang-undang domestik dan konvensyen antarabangsa. Beliau menambah, pengambilan pekerja asing kini dihadkan kepada enam sektor utama dan subsektor yang dibenarkan, dengan kriteria serta syarat kelulusan yang ketat.

Bagi sektor ekonomi gig, kerajaan akan memuktamadkan mekanisme pengiraan pendapatan dan piawaian perlindungan untuk pekerja berkenaan menjelang awal 2027. Formula kadar pendapatan minimum itu berasaskan kajian yang melibatkan 13 sesi libat urus, 14 perbincangan kumpulan fokus dan 37 temu bual mendalam dengan 1,962 pekerja platform, analisis 487,805 transaksi perkhidmatan serta penanda aras di 42 negara.

Ramanan berkata, bagi kebajikan penunggang e-hailing dan p-hailing, kerajaan menubuhkan inisiatif sokongan kewangan khas bernilai RM160 juta hasil kerjasama Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Kewangan. Separuh ditanggung kerajaan dan separuh lagi oleh syarikat platform, dengan Grab dijadikan projek perintis.

Mengenai potongan caruman PERKESO bagi pekerja gig yang berdaftar dengan beberapa platform, beliau berkata syarikat tidak membuat potongan berasingan, sebaliknya menyelaraskannya dalam satu akaun bersepadu bagi mengelakkan potongan berganda.

TopikRamananKementerian Sumber ManusiaGaji minimumPekerja gig

Berita berkaitan