Malaysia komited perkukuh Asean dan kerjasama pertahanan serantau – Khaled

PHILIPPINES: Malaysia kekal komited memperkukuh Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM), memelihara sentraliti Asean dan membina komuniti serantau yang lebih selamat serta berdaya tahan, kata Menteri Pertahanan, Khaled.
Dalam ucapan perasmian pada ADMM ke-20 di Filipina semalam, beliau berkata keselamatan serantau bergantung kepada kepercayaan sesama negara anggota, pengurusan perbezaan secara membina dan komitmen bersama terhadap kepentingan wilayah yang lebih luas.
Menurut beliau, tiada negara anggota Asean, tanpa mengira sumbernya, mampu menangani cabaran yang dihadapi rantau ini sendirian.
"Kekuatan kita terletak pada kepercayaan yang kita bina sesama kita, kesediaan kita menguruskan perbezaan secara membina, dan keazaman kita mempertahankan kepentingan rantau yang lebih luas," katanya pada sambutan ulang tahun ke-20 ADMM.
Khaled turut menegaskan keperluan kesiapsiagaan kolektif yang lebih tinggi, penyelarasan yang lebih kukuh dan pelaburan berterusan dalam keupayaan yang memberi manfaat nyata kepada rakyat.
Beliau berkata Laut China Selatan kekal sebagai ujian penting bagi perpaduan, kredibiliti dan komitmen Asean terhadap prinsip penubuhannya, memandangkan beberapa negara anggota mempunyai tuntutan maritim yang bertindih.
"Namun, tiada pertikaian, sedalam mana pun akarnya, harus dibiarkan memecahbelahkan Asean atau menjejaskan keamanan yang telah kita usahakan selama beberapa dekad," katanya.
Khaled juga menyeru keupayaan tindak balas bencana serantau diperkukuh, kerana ancaman bukan tradisional semakin kompleks, saling berkait dan berpotensi merosakkan. Beliau menyebut Kumpulan Tentera Sedia Asean bagi Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (AMRG on HADR) sebagai mekanisme sedia ada untuk menyelaras bantuan ketenteraan dan mengerahkan aset tentera ke kawasan dilanda bencana.
Menurut beliau, ADMM kini menjadi platform praktikal untuk kerjasama pertahanan, pembinaan keyakinan dan tindak balas kolektif terhadap cabaran keselamatan bersama.
Pada Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean Plus (ADMM-Plus) ke-13, Khaled menyeru rakan dialog Asean menghormati peranan pusat blok itu dalam keselamatan serantau serta kepentingan setiap negara anggota.
"Sebagaimana Asean menghormati kepentingan dan pandangan rakan Plus kita, kita menjangkakan penghormatan serupa diberikan kepada setiap negara anggota Asean, tanpa kecuali," katanya.
Beliau berkata persekitaran keselamatan antarabangsa semakin tidak menentu akibat persaingan strategik, ketegangan geopolitik dan konflik di Eropah, Timur Tengah dan tempat lain. Asean, katanya, harus mengambil iktibar daripada konflik itu dan tidak membiarkan keadaan serupa berakar di rantau ini.
Khaled juga menyeru semua pihak menahan diri di Laut China Selatan, mengelak tindakan yang boleh meningkatkan ketegangan dan menyelesaikan pertikaian secara aman mengikut undang-undang antarabangsa, terutamanya Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS). Beliau berkata Tatakelakuan (COC) yang berkesan dan substantif perlu dimuktamadkan segera.
"Tiada negara akan beruntung daripada konflik di Laut China Selatan," katanya.
ADMM-Plus menghimpunkan 11 negara anggota Asean dan lapan rakan dialog, iaitu Australia, China, India, Jepun, New Zealand, Korea Selatan, Rusia dan Amerika Syarikat. Ditubuhkan pada 2010, ia menjadi forum membincangkan isu keselamatan serantau serta kerjasama praktikal dalam keselamatan maritim, bantuan kemanusiaan dan bencana, kontra keganasan serta operasi pengaman.
Foto: Ministry of Defence / Wikimedia Commons (GODL-India)




