Op Viking: Polis beku, sita aset RM409 juta dalam siasatan dakwaan 'mafia korporat'

KUALA LUMPUR: Aset bernilai kira-kira RM409 juta telah dibekukan dan disita polis setakat ini dalam siasatan Op Viking berhubung dakwaan aktiviti 'mafia korporat', menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata, aset tersebut merangkumi lapan hartanah dan 11 kenderaan, selain 417 akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) serta 70 akaun dagangan saham yang melibatkan kira-kira RM323.59 juta.
Turut dibekukan ialah 404 akaun bank dengan baki dianggarkan RM85.62 juta.
Menurut Saifuddin, seramai 70 individu telah dipanggil untuk memberikan keterangan setakat 25 September lalu.
"Polis telah mengambil tindakan, termasuk menahan beberapa individu serta membeku dan menyita pelbagai aset yang dipercayai berkaitan dengan aktiviti yang sedang disiasat," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) di Dewan Rakyat mengenai skop dan status terkini siasatan polis terhadap dakwaan 'mafia korporat', susulan arahan Kabinet supaya siasatan menyeluruh dijalankan.
Saifuddin turut menjelaskan bahawa berdasarkan latar belakang dan identiti individu yang dipanggil memberi keterangan, tiada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlibat atau dikenal pasti perlu membantu siasatan.
Menurutnya, siasatan Op Viking masih berjalan dan polis sedang berusaha melengkapkan kertas siasatan.
"Kementerian memberi jaminan bahawa polis kekal komited menjalankan siasatan mengikut undang-undang yang terpakai," katanya.




