Pemandu MPV tertera 'Bomba' dalam video tular ditahan kerana memandu melulu

SUNGAI PETANI: Polis menahan seorang lelaki berusia 35 tahun berhubung video tular yang menunjukkan dia didakwa memandu secara melulu menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) merah yang bertulis "Bomba".
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan, berkata siasatan mendapati lelaki itu disahkan menghidap gangguan bipolar sembilan tahun lalu dan dipercayai berhenti mendapatkan rawatan kira-kira dua tahun lalu.
"Polis menerima laporan pada Selasa (27 Oktober) selepas video itu tular," katanya pada sidang media di ibu pejabat polis daerah di sini pada Khamis.
Lelaki itu ditahan di Bandar Puteri Jaya, dan kenderaan serta beberapa barangan lain dirampas.
ACP Hanyan berkata suspek merupakan pemilik MPV itu, memiliki lesen memandu yang sah, tiada rekod jenayah dan disahkan negatif dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya.
Suspek direman sehari sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Petani untuk rawatan dan pemantauan lanjut.
Video tular itu menunjukkan sebuah MPV merah bertulis "Bomba" dipandu secara melulu, dengan pemandunya memarahi pengguna jalan raya lain yang tidak memberi laluan.
Susulan itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah mengeluarkan kenyataan pada Rabu (28 Oktober) bahawa kenderaan dalam video tersebut bukan kenderaan rasmi jabatan dan bukan milik mana-mana Pasukan Bomba Sukarela di negeri itu.




