Jumaat, 30 Oktober 2026
TERKINI
Longkang tidak dibersih punca banjir kilat di Taman Indah KLIA, SepangPRN Melaka: Kerk berdepan cabaran sengit pertahan Ayer Keroh, Gerakan diuji isu 'perpaduan Melayu'Kiandee persoal Bersatu: Pecat juga Muhyiddin dan lima Ahli Parlimen yang tandatangani CSA?Pembinaan pertahanan di Sabah bukan tindak balas terhadap Filipina – KhaledPeruntukan jalan luar bandar naik hampir tiga kali ganda, projek tidak dibatalkan – Tengku ZafrulPulau Pinang unjur defisit bajet terendah RM5.26 juta bagi 2027Mahkamah Tinggi Shah Alam benar bekas olimpik simpan tiga kucing di kondominiumPersiapan Deepavali rancak di seluruh negara, pasar dan kedai mula dibanjiri pengunjungPindaan UUCA dibentang Disember, kerajaan kaji nyahklasifikasi dokumen sejarahPolis siasat paparan kandungan lucah pada LED milik Majlis Perbandaran Kluang

Pusat data guna hanya 58.5 peratus kuasa elektrik dikontrak, nuklear masih dipertimbang – Fadillah

KUALA LUMPUR: Penggunaan sebenar elektrik oleh pusat data di Malaysia setakat Ogos lalu hanya 1,374 megawatt (MW), iaitu 58.5 peratus daripada 2,346MW yang dikontrak, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Menurut Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, jurang itu menunjukkan pengendali pusat data pada mulanya memohon bekalan elektrik melebihi keperluan sebenar mereka.

Keadaan itu, katanya, mendorong kerajaan meneliti permintaan dan penggunaan sebenar industri tersebut dengan lebih rapi melalui Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) yang ditubuhkan khusus bagi tujuan itu.

“Sebab itulah kita mengambil pendekatan menyeluruh. DCTF ditubuhkan untuk menilai secara terperinci sejauh mana permintaan dan penggunaan sebenar.

“Kadangkala pada peringkat awal, apabila mereka memohon kontrak bekalan elektrik, mereka menganggarkan berapa banyak kuasa yang diperlukan, tetapi penggunaan sebenar ternyata lebih rendah daripada jumlah yang dipohon,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai pelan luar jangka kerajaan bagi memastikan operasi pusat data tidak menjejaskan akses rakyat kepada bekalan elektrik dan air, termasuk ketika musim kemarau.

Fadillah berkata setiap permohonan bekalan elektrik bagi pembangunan pusat data melalui penilaian teknikal menyeluruh oleh Kumpulan Fokus Tenaga (EFG) di bawah Suruhanjaya Tenaga sebelum dirujuk kepada DCTF.

Penilaian itu mengambil kira keupayaan sistem membekalkan elektrik selaras unjuran yang diluluskan Majlis Tenaga Negara, selain rangkaian penghantaran dan pengagihan elektrik serta pelaburan infrastruktur yang diperlukan.

Katanya, Suruhanjaya Tenaga kini sedang membangunkan rangka kerja dan garis panduan menyeluruh supaya pusat data menjana elektrik sendiri dan memenuhi syarat penggunaan sekurang-kurangnya 30 peratus tenaga boleh baharu.

“Kerajaan akan terus memantau pertumbuhan industri pusat data, menjalankan penilaian risiko dan melaksanakan langkah mitigasi yang sesuai, di samping mengemas kini perancangan penjanaan dan grid secara berkala berdasarkan trend permintaan sebenar,” katanya.

Mengenai keselamatan bekalan air, Fadillah berkata DCTF turut mengambil kira margin rizab air ketika menilai lokasi yang sesuai, berdasarkan maklum balas dan cadangan pengendali bekalan air negeri. Projek pusat data di kawasan yang mempunyai margin rizab air rendah tidak akan dipertimbangkan.

Menjawab soalan tambahan sama ada Malaysia akan mengikut langkah Indonesia yang dilaporkan meneroka loji janakuasa nuklear terapung, Fadillah berkata tenaga nuklear masih dipertimbangkan sebagai sumber elektrik pada masa depan.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia perlu terlebih dahulu menyelesaikan obligasi perjanjian antarabangsa sebelum menerima pakai tenaga nuklear, tertakluk kepada pematuhan piawaian Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) dari segi peraturan, keselamatan, keupayaan tenaga manusia dan teknologi.

“Kesiapsiagaan lebih penting bagi kita kerana kita mahu memastikan bukan sahaja keselamatan bekalan tenaga, tetapi juga keselamatan rakyat dari setiap aspek,” katanya.

TopikFadillah Yusofpusat datatenaga elektriktenaga nuklearDewan Rakyat

Berita berkaitan