KUALA LUMPUR: Bintang K-Pop sensasi, Lalisa Manobal atau lebih dikenali sebagai Lisa, tampil dengan single baharu berjudul ‘Rockstar’ di bawah kerjasama syarikat pengurusannya, LLOUD Co dan RCA Records.

Single terbitan Ryan Tedder dan Sam Homaee ini merupakan lagu solo pertama anggota kumpulan wanita K-Pop popular, Blackpink, sejak penubuhan LLOUD Co awal tahun ini.

“Rockstar memperlihatkan kemampuan Lisa yang menggabungkan seni rap dan vokal pop bertenaga,” kata kenyataan media yang dikeluarkan syarikat publisiti, The Lede Company.

Lisa memperkenalkan sedutan single ‘Rockstar’ pada awal bulan ini menerusi TikTok, mencipta sejarah apabila memecahkan rekod dunia dengan menerima sejuta pengikut dalam masa dua jam dan 18 minit.

Video muzik rasmi arahan Henry Schofield dengan koreografi oleh Sean Bankhead yang dirakam di Bangkok, Thailand, kini trending nombor satu di YouTube dengan hampir 26 juta tontonan dalam tempoh 15 jam.

Selain kejayaan bersama Blackpink, Lisa pernah memecahkan beberapa rekod dunia sebagai artis solo dengan lagu ‘Lalisa’ dan ‘Money’ yang memasuki carta Top 10 Billboard Global 200.

Lisa juga bakal membuat penampilan sulungnya sebagai pelakon dalam siri ‘The White Lotus’ musim ketiga yang kini sedang menjalani penggambaran di Thailand.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia