KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memutuskan untuk menambah baik reka bentuk jaket rasmi kontinjen negara bagi Sukan Olimpik Paris 2024 dengan memperincikan motif Harimau, yang melambangkan kebanggaan negara.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, menyatakan bahawa logo MOM dan Jalur Gemilang akan kembali kepada warna asal.

Keputusan ini dibuat selepas mempertimbangkan maklum balas dari pelbagai pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN), dan peminat sukan tempatan yang tidak memberi respon yang positif terhadap rekaan sebelum ini.

“Sesungguhnya MOM mengucapkan terima kasih kepada semua pemegang taruh dan peminat sukan secara umumnya yang mengambil berat terhadap majlis pelancaran dan reka bentuk pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 dengan memberi teguran dan pandangan membina.

“Kami juga menghargai prinsip KBS dan agensi kerajaan lain yang menghormati kedudukan MOM sebagai badan payung persatuan sukan kebangsaan yang bebas dan tidak berasaskan keuntungan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menambah, MOM akan bertanggungjawab menguruskan pendaftaran dan penyertaan atlet, jurulatih, dan pegawai ke Sukan Olimpik, sambil menegaskan bahawa versi logo MOM dengan lima warna yang memaparkan bendera Malaysia adalah mengikut garis panduan IOC.

“Niat asal pasukan memaparkan corak dan reka bentuk untuk jaket yang dilancarkan bertemakan warna emas digabungkan dengan hitam berserta logo MOM berwarna emas dianggap menjadi simbol paling tepat mencerminkan aspirasi Kontinjen Malaysia membawa pulang emas pertama.

“Versi emas logo MOM yang menggabungkan kibaran bendera negara dan lima gegelung itu menepati garis panduan IOC (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa),” katanya.

Rekaan baru jaket rasmi kontinjen Malaysia untuk temasya sukan akan mula diperkenalkan bermula dengan Sukan SEA di Thailand pada 2025 hingga Sukan Olimpik Los Angeles 2028.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia