Adrian Marcellus dilantik Ketua Pegawai Eksekutif MDEC

KUALA LUMPUR: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) melantik Adrian Marcellus sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi mempercepat pertumbuhan ekonomi digital negara dan memajukan aspirasi Malaysia menjadi Negara AI menjelang 2030.
Dalam satu kenyataan, MDEC memaklumkan Adrian, yang sebelum ini CEO MyDIGITAL Corporation, mengambil alih kepimpinan agensi itu ketika Malaysia memasuki fasa penting menterjemah pelaburan dalam kecerdasan buatan (AI), pusat data dan infrastruktur digital kepada produktiviti lebih tinggi, inovasi tempatan, pekerjaan bernilai tinggi serta peluang ekonomi.
Pengerusi MDEC, Ganesh Kumar Bangah, berkata pengalaman Adrian dalam transformasi digital negara dan sektor swasta akan memperkukuh usaha agensi itu merealisasikan cita-cita AI Malaysia serta menyampaikan hasil yang boleh diukur.
Menurut MDEC, sebagai CEO MyDIGITAL Corporation dan Ketua MYCentre4IR, Adrian memainkan peranan penting dalam menggubal Pelan Tindakan Digital Malaysia 2030 (MD2030) yang merangkumi Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Negara.
Beliau juga terlibat dalam mengeramkan Unit Nukleus Kerajaan, kini GovTech yang beroperasi terus di bawah Kementerian Digital, serta Pejabat AI Kebangsaan yang kini diperbadankan sebagai AI Malaysia, selain membantu mengembangkan program Rakyat Digital.
Menerusi MYCentre4IR, Adrian turut bekerjasama dengan Forum Ekonomi Dunia dan rakan industri untuk mempercepat penggunaan teknologi serta transformasi perindustrian, termasuk melalui inisiatif Transitioning Industrial Clusters (TIC).
Adrian berkata beliau tidak sabar untuk membina atas pencapaian MDEC dan bekerja rapat dengan pasukan MDEC, agensi kerajaan serta rakan industri bagi membuka gelombang seterusnya pertumbuhan ekonomi digital.
Foto: GerifalteDelSabana / Wikimedia Commons (CC BY-SA 4.0)




