Selangor henti semua pembangunan di Puncak Alam, mitigasi banjir dipercepat

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor mengarahkan semua projek pembangunan di Puncak Alam dihentikan bagi memudahkan kerja mitigasi banjir dan membolehkan kesan alam sekitarnya dinilai semula.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan dimaklumkan dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata hujan lebat yang mencetuskan banjir di beberapa kawasan menyusahkan orang ramai, terutama mereka yang berulang-alik ke tempat kerja serta ibu bapa yang menghantar dan mengambil anak dari sekolah. "Setiap teguran terhadap agensi kerajaan perlu diterima secara terbuka dan komitmen membantu mangsa mesti diperkukuh," katanya.
Menurut Amirudin, semua projek mitigasi banjir di seluruh negeri, terutama di kawasan berisiko tinggi, akan dipercepat tanpa mengikut jadual konvensional memandangkan hujan dijangka hampir setiap hari. "Kita berdepan krisis perubahan iklim dan usaha mitigasi banjir mesti setanding dengan cabaran semasa," katanya.
Jalan Batu Arang di Rawang pula akan ditutup sementara bagi membolehkan Jabatan Kerja Raya (JKR) membaiki tebing yang runtuh.
Bagi meringankan beban mangsa, bantuan sehingga RM1,500 daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kerajaan negeri akan disalurkan kepada mereka yang berada di pusat pemindahan sementara. Kerja pembersihan dan pembaikan rumah juga akan dipercepat.
Amaran awal akan dikeluarkan kepada pengguna jalan raya di kawasan berisiko, manakala Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta segera menjalankan kerja pengalihan aliran air serta menyelenggara sistem saliran yang terjejas.
Awal hari ini, selepas meninjau sebuah kolam takungan di kampus Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Amirudin berkata beliau akan meminta semakan semula semua kelulusan pembangunan yang telah diberikan, termasuk mewajibkan pemaju membina kolam takungan air sementara. "Kita pasti tidak mahu mereka melaksanakan kerja secara cincai atau tidak berkualiti," katanya.
Beberapa kawasan di Selangor dinaiki air selepas hujan ribut sepanjang minggu ini. Di Paya Jaras, sebuah jambatan di Jalan Kubu Gajah runtuh selepas arus deras Sungai Subang menghakis tebingnya, manakala puluhan keluarga di Kampung Melayu Subang, Sungai Buloh, terpaksa dipindahkan akibat banjir kilat pada Isnin dan Selasa.
Foto: Robert Lamb / Wikimedia Commons (CC BY-SA 2.0)




