KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus memainkan peranan penting dalam memastikan tadbir urus yang bersih dan berintegriti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam satu kenyataan di Facebook pagi ini, Anwar menegaskan bahawa kerajaan akan terus komited untuk memperkukuhkan SPRM sebagai tonggak utama dalam memerangi rasuah di negara ini.

“Saya tegaskan, SPRM adalah tonggak utama untuk mempertahankan tatakelola, sistem yang mempunyai integriti dan menyelamatkan bangsa dan negara dari keruntuhan berterusan.
“Tekad Kerajaan MADANI adalah untuk membina sebuah negara wibawa yang bersih dan ke arah memperkasa SPRM menjadi badan bebas dan berintegriti,” katanya di Facebook pagi ini.
Anwar berkata demikian selepas menghadiri Majlis Makan Malam Beristiadat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2025 semalam.
Dalam usaha memperkukuh SPRM, Anwar menjelaskan bahawa pelbagai langkah akan diambil, termasuk penambahbaikan dasar, pemantauan yang lebih ketat, serta memastikan badan tersebut terus bebas daripada sebarang pengaruh politik.
“Mesti ditegaskan, perubahan mesti dari pimpinan atas dengan amalan, tindakan dan bukan hanya dengan jaminan kata-kata sahaja,” katanya lagi.
Kerajaan MADANI sebelum ini telah menunjukkan komitmen untuk menjadikan Malaysia sebagai negara bebas rasuah, selaras dengan prinsip ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran.