Syarikat milik majoriti AS rancang loji penapisan nadir bumi AS$600 juta di Malaysia

KUALA LUMPUR: Syarikat permulaan milik majoriti Amerika Syarikat, DTEC Mineral and Metal Technology, merancang membina loji penapisan nadir bumi bernilai AS$600 juta (kira-kira RM2.5 bilion) di Malaysia dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Milan Perlly, berkata dalam satu temu bual bahawa syarikat itu baru-baru ini menjadi yang pertama menerima kebenaran di bawah peraturan eksport Malaysia yang dilonggarkan untuk menghantar bahan nadir bumi belum diproses ke AS.
Projek itu menyokong usaha Malaysia dan AS membangunkan sumber baharu nadir bumi di luar China, yang mendominasi pemprosesan mineral tersebut. Nadir bumi penting untuk pelbagai produk, daripada kenderaan elektrik dan peralatan elektronik hingga turbin angin dan senjata canggih.
"Matlamat lebih besar ialah menjadikan Malaysia hab pemprosesan unsur nadir bumi untuk tanah liat ionik di rantau ini," kata Perlly.
Sebahagian besar sumber nadir bumi yang dikenal pasti di Malaysia terdapat dalam mendapan tanah liat penjerapan ion, iaitu unsur itu terikat longgar pada tanah liat dan bukan terkunci dalam batuan keras, yang berpotensi menjadikannya lebih mudah dan murah diekstrak. Mendapan itu boleh mengandungi nadir bumi berat yang dicari untuk magnet berprestasi tinggi dan teknologi canggih lain.
Menurut Perlly, loji penapisan pertama DTEC Mineral akan berupaya memproses 5,000 tan metrik bahan nadir bumi setahun. Syarikat itu akhirnya mahu membina dua kemudahan di Malaysia dengan kapasiti gabungan 10,000 tan setahun.
"AS mahu kami membina keluaran 10,000 tan metrik. Matlamat saya ialah meletakkan satu loji di pantai timur untuk 5,000 tan metrik dan loji kedua di pantai barat," katanya.
DTEC Mineral sedang mempertimbangkan lokasi selepas berbincang dengan pegawai di Kedah, Terengganu, Perak dan Negeri Sembilan. Kemudahan itu akan meluaskan peranan Malaysia dalam industri nadir bumi melangkaui operasi pemprosesan Lynas Rare Earths Ltd dari Australia, yang mengendalikan sebuah loji besar di Pahang.
"DTEC Mineral bercadang membangunkan mendapan tanah liat ionik yang bersumber tempatan dan akhirnya mengendalikan lombong sendiri di Malaysia," kata Perlly.
Syarikat itu sedang bersiap menghantar sekitar 30 tan bahan nadir bumi belum diproses ke AS untuk penyelidikan, selepas menerima kelulusan mengeksport sehingga 700 tan. Penghantaran itu bertujuan menentukan komposisi bahan serta teknologi pemprosesan yang paling sesuai.
Malaysia dianggarkan mempunyai 16.1 juta tan sumber nadir bumi mengikut anggaran kerajaan, namun sebahagian besarnya belum terbukti berberdaya maju secara komersial.
Perlly, warganegara AS kelahiran Malaysia yang pernah bekerja di Capital One, dan rakan kongsi perniagaannya, David Greer, memiliki 51 peratus DTEC Mineral. Baki 49 peratus dipegang oleh syarikat Malaysia, DTEC Engineering and Construction.
Syarikat itu mempunyai cita-cita untuk disenaraikan di Malaysia serta di Nasdaq atau Bursa Saham New York. Ia juga sebahagian daripada perjanjian perdagangan dan mineral kritikal yang ditandatangani Presiden Donald Trump dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim tahun lalu. Di bawah perjanjian itu, DTEC layak mendapat pembiayaan daripada Bank Eksport-Import AS, Perbadanan Kewangan Pembangunan Antarabangsa AS dan Jabatan Pertahanan AS, menurut laman web syarikat itu.




