KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang mengkaji cadangan untuk meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah bidang kuasa Parlimen, namun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan perlunya perbincangan menyeluruh sebelum pelaksanaan dilakukan.
Anwar menyatakan keperluan untuk mempertimbangkan implikasi tersebut, khususnya terhadap ahli politik yang turut berada dalam radar SPRM.
““Itu (meletakkan SPRM bawah Parlimen) harus kita bincang kerana ahli politik ini kadang-kadang (juga) dipantau.
“Jika kita kena teliti implikasi juga sebab ahli politik sekiranya diberi kuasa itu berada dalam radar SPRM maka, kita kena teliti syarat-syarat ketat (sebelum melaksanakan),” katanya ketika diminta mengulas berhubung cadangan meletakkan SPRM di bawah Parlimen.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan bahawa walaupun SPRM tidak berada di bawah Parlimen pada masa kini, badan berkanun itu tetap bertanggungjawab menjalankan siasatan dan menangani kesalahan rasuah yang dibuktikan.
“Sekarang ini yang penting siasat dan ada bukti yang nyata, kena dakwa. Kemudian gunakan teknikal argument (hujah), jangan lari daripada kenyataan.
“Saya tak peduli dan kalau ada bukti dakwa..jangan reka, jangan aniaya itu juga penting,” katanya. tambahnya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini menolak cadangan untuk meletakkan SPRM di bawah Parlimen, merujuk kepada pengalaman agensi serupa di luar negara seperti Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) Hong Kong yang berada di bawah pantauan badan pengawasan bebas.
Anwar juga menyuarakan keprihatinan terhadap imej SPRM yang, menurutnya, perlu dipertahankan dengan ketegasan dalam menangani kes-kes rasuah untuk membangkitkan keyakinan masyarakat.